=============================
Sebenarnya sudah lama saya ingin menulis mengenai perkara ini, tetapi masa dan pemikiran belum mengizinkan,tapi malam ini kita akan cuba kongsi serba sedikit perkara berkaitan. Perkara ini bermula begini, ketika saya menghadiri majlis solat hajat sempena minggu peperiksaan pertama PASTI tempat anak saya belajar dan pada waktu yang sama juga diadakan majlis tahlil arwah kepada seorang pelajar perempuan yang baru meninggal dunia (semoga Allah mencucuri rahmatnya). Peristiwa ini berlaku pada mei yang lalu.
Setelah selesai solah hajat dan tahlil arwah, saya menghampiri ayah simati untuk mengucapkan takziah dan bertanya lebih lanjut mengenai penyakit sebenar si mati. Sedang asyik saya berbual-bual dengan ayah simati, tiba-tiba datang seorang hamba Allah yang saya tidak kenal, lantas meminta gambar arwah untuk dilihat. Permintaan tersebut ditunaikan. Terkejut saya bila beliau berkata "sah !!, dia datang tadi". Hadirin terkejut dan bertanya untuk kepastian siapa yang datang. Hamba Allah ni kata, beliau dapat melihat arwah si mati datang ketika kami mengadakan tahlil. Katanya, beliau datang dengan muka senyum dan berpesan agar ahli keluarganya supaya menghadiahkan tahlil, zikir dan bacaan yasin kepadanya pada setiap malam jumaat. Terkejut juga saya dibuatnya, lucu pun ada...
Baik, kita tinggalkan kisah misteri ini disitu.... Persoalan saya, betul ke roh orang yang telah mati dapat kesana kemari mengikut kemahuannya sendiri ?. Masalah tahlil, bacaan yasin dan zikir untuk arwah, saya tidak bincang disini.
Sebelum kita bincang samada roh boleh jalan-jalan seperti yang dimaksudkan, mari kita lihat beberapa tulisan sarjana dan maulana Islam mengenai roh. Adakah roh akan mati ??, dalam kitab Ahwalu al-Qabri karangan Syaikh Muhammad bin Husain Ya'qub, beliau berkata "sebahagian orang menganggap roh akan mati, kerana ia termasuk jiwa. Sedangkan setiap jiwa akan mengalami kematian. Allah berfirman, 'Setiap yang ada diatasnya (bumi) akan binasa' (ar-Rahman:26). Kalau Malaikat saja akan mengalami kematian, tentu jiwa manusia lebih pantas untuk mengalaminya. Ada juga yang mengatakan, bahawa roh akan mati saat sangkakala ditiup".
Abu al-'Izz Al-Hanafi berkata dalam Syarah Thahawiyah-nya, "Yang benar, yang dimaksud dengan kematian jiwa adalah ketika ia berpisah dengan badan dan keluar darinya. Keliru, kalau ada yang menganggap kematian jiwa adalah kematian layaknya dzat yang mengalami kematian, atau bahawa roh itu akan hilang dan musnah secara total. Sesungguh nya roh akan tetap kekal sejak ia diciptakan. Ia akan berada dalam kenikmatan atau azab. Allah berfirman.'Tidak akan mengalami kematian selain kematian yang pertama' (Ad-Dukhan:56). Yang dimaksudkan dengan kematian pertama adalah berpisah dari jasad".
Apa yang kita faham adalah roh tidak akan mati dan ia akan berada dalam nikmat atau azab bergantung kepada amalnya, namun begitu, dimana roh selepas berpisah dengan badan adakah datang meronda-ronda seperti awal tadi ??.
Saya ulang sekali lagi, Sebenarnya bolehkah roh meronda-ronda, berjalan-jalan atau pulang kerumah untuk melawat sanak saudara atau pulang berhari raya (selamat hari raya!!) cuba kita lihat ayat 85 surah al-Isra', Allah berfirman, "Dan mereka bertanya kepada mu tentang roh. Katakan: 'roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja".
Nabi Muhammmad SAW telah ditanya oleh kaum Yahudi tentang roh kerana hendak mengujinya, lalu turun firman Allah Taala ini mendedahkan kebodohan mereka bertanyakan sesuatu yang semamangnya tidak diketahui oleh sesiapapun kecuali Allah 'Azza wa Jalla. Allah jualah yang mengetahui akan hakikat roh itu, sedang manusia hanya diberi sedikit ilmu pengetahuan, itupun tentang benda-benda yang dapat dilihat, atau yang dapat didengar atau yang dapat dipegang, atau yang dapat dikecap rasanya, atau yang dapat dicium baunya (Tafsir Pimpinan Ar-Rahman, 1999:702.
Baik, kita sudah mambaca ayat al-Quran, sedikit tafsir yang dibawa oleh saya dan mari kita lihat sekali lagi tulisan Syaikh Muhammad bin Husain Ya'qub dalam kitab Ahwalu al-Qabri tentang dimana roh berada, pasca kematian hingga sebelum datangnya kiamat:
Berdasarkan dalil-dalil syar'i, roh berada dalam barzakh dan mempunyai darjat/ tingkatan yang berlainan.
1. Roh yang berada di Illiyyin, dalam singgahsana paling atas, Yakni roh para Nabi. Disini pun tingkatan mereka berbeza-beza.
2. Roh yang berada dalam tembolok burung hijau, yang terbang sesuka hati di dalam syurga. Iaitu roh sebahagian orang yang mati syahid.
3. Roh yang berada dalam tempat yang paling bawah dan paling hina, yakni roh orang-orang kafir dan pendosa besar . Allah Berfirman, "Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami dan berlaku sombong terhadapnya, pintu langit tak akan terbuka bagi mereka" (Al-A'raf:40).
Jadi, macamana perbincangan kita pada malam ini, adakah roh boleh ronda-ronda sesuka hati, sedangkan roh berada di bawah kekuasan Tuhan dan tidak diberi ikhtiar hidup seperti mana diberikan ketika kita masih hidup. Adaka roh akan pulang ke rumah setelah jasadnya dimamah bumi dan tidak diberikan pilihan seperti banyakkan pilihan semasa hidup.
Adakah anda percaya dengan cerita hamba Allah diawal tadi, kalau saya..... tak taulah, tapi pada malam tersebut saya cuba dan cuba memerhatikan beliau dengan penuh minat dan beliau bertambahlah kasyafnya, Wallah hu 'alam", anda tentukan sendiri.......geli hati kalau ingat kat hamba Allah tu.
Kepada Para ustaz, 'alim 'ulama, cerdik pandai dan kawan-kawan yang mempunyai hujah dan dalil yang lebih bernas dan mantop, sila betulkan tulisan saya ini, kerana saya tidak tau apa-apa, hanya Allah yang Maha Tahu ke atas roh....http://demokorup.blogspot.com
-----------------------------
Penaja
No comments:
Post a Comment