Credit to : http://sisi-kehidupan.blogspot.com
Saya tidak pernah termimpi untuk menjadi isteri kedua. Ya, siapakah antara kita yang memasang cita-cita untuk terus-terus berada di alam poligami…? Berkahwin dengan suami orang…?
Baguslah jika ada di antara kalian yang bujang, positif menerima dan bersedia berpoligami, kerana mungkin kalian telah nampak kebaikan dan kepentingan melaksanakan syariat ALLAH yang satu ini. Dan sebenarnya, kebaikan syariat poligami ini jauh lebih baik dari yang kita sangkakan. Alhamdulillah.
Pertama kali dikhabarkan oleh kakak isteri pertama, bahawa suaminya ingin menjadikan saya isteri kedua, saya terasa amat berat mencucuk fikiran. Ya ALLAH, moga ini hanya mimpi. Namun, terjaga dari tidur, saya ‘terpaksa’ memikirkannya kerana ternyata ini adalah ujian nyata yang ALLAH datangkan dalam hidup yang sementara.
Saya juga sama seperti kalian, ingin bernikah. Ingin menjadi isteri yang pertama. Bukan sekadar menjadi isteri pertama, tapi saya juga ingin menjadi satu-satunya isteri.
Saya tidak ingin suami saya mencintai dan menyayangi wanita lain. Saya tidak mampu. Kerana saya dibesarkan dalam lingkungan masyarakat dan arus media yang sangat mendokong monogami, menyisihkan poligami.
Tapi ternyata ketidakmampuan saya sangat sedikit berbanding kehebatan ALLAH mengatur setiap salur galur urusan makhluknya.
[ Malah kini saya suka kalau suami saya dan para suami lain diberi kemampuan untuk memiliki lebih dari satu isteri...opss, nanti kita kupas pasal ni..]
Melalui kakak isteri pertama, saya mendapat info dan sedikit sebanyak pengenalan mengenai suami saya (bakal suami waktu itu). Dan seterusnya setelah saya bersemuka dengan bakal suami bersama isterinya, saya menghadapkan lamaran itu kepada mak dan abah.
Ya, mak dan abah amat sukar untuk menerima. Kata abah, perkahwinan itu sendiri terlalu banyak cabaran dan ranjaunya, apatah lagi hidup di alam poligami. Saya terlalu mentah untuk menghadapi semua itu, abah mengingatkan.
“Mak pula macam mana ya…?” tanya saya pada mak.
“Mak ni, kalau boleh biarlah bukan suami orang. Saudara mara kita tak pernah ada yang bermadu… tapi kalau dah jodoh tu, mak terima je lah..” mak menjawab dari persepsi seorang ibu.
Mak sempat juga berkongsi, tentang seorang kawannya, “ Dulu dia bercerai sebab tak boleh terima suaminya nak berkahwin lagi…tapi sekarang, dia pun dah berkahwin semula dengan suami orang lain”. Maksud mak, kadang-kadang perkara yang kita tak nak dan tak terfikir, akan datang juga kepada kita.
Waktu itu, saya berusaha mencari isteri yang berpoligami, ingin meminta pandangan mereka. Ada dua orang isteri, yang bergelar isteri kedua, yang memberi pandangan kepada saya. Mereka menasihatkan saya supaya tidak menjadi isteri kedua atas sisi-sisi negatif kehidupan poligami yang mereka lalui.
Namun setelah difikir-fikir semula, sisi negatif itu bukan kerana mereka berpoligami, tapi itu adalah konflik lumrah yang berlaku dalam perkahwinan monogami sekalipun. Apapun, saya tetap menghargai pandangan mereka berdua.
Selain mereka berdua, saya tidak ada contoh rujukan yang lain dari kalangan yang berpoligami. Namun saya bersyukur, beberapa orang yang saya minta pandangan, memberi nasihat yang sangat menenangkan iaitu– Kembalikanlah semua ini kepada ALLAH. Kuatkanlah hubungan dengan ALLAH. Persiapkanlah diri menghadapai ujian-ujian rumahtangga yang pasti, samaada bermadu ataupun tidak.
Menghadapi pula sebahagian pandangan insan sekeliling yang lain, ternyata inilah yang membuatkan tak ada orang yang terdorong untuk berpoligami.
Untuk yang ingin menjadi isteri kedua - bersedialah dengan kata-kata yang tidak enak didengar. Atau dilabel perampas dan pengacau.
“ Dah tak ada orang lain ke.. orang bujang kan ramai lagi…”
“Dah desperate sangat ke…??”
“Kenapa mengganggu kebahagiaan orang lain..??”
Ya ALLAH, ampunilah mereka..sesungguhnya mereka tidak mengetahui…
Sedangkan para isteri pertama pula dikatakan tidak pandai menjaga suami, dan segala cakap-cakap lain yang mengganggu kesediaan dan ketenangan para isteri untuk meraikan alam poligami.
Para suami tidak kurang hebatnya dikecam, ‘gatal’ dan ‘miang’ gelaran biasa bagi suami yang berusaha membina rumahtangga seterusnya.
‘Kahwin kerana nafsu’.. kata sebahagian orang pada para suami yang berhasrat bernikah lagi. Apakah kita dan kalian semua yang berkahwin kali pertama, baik lelaki atau perempuan, bukan kerana didorong nafsu dan perasaan ? Tak apa.. yang ni pun boleh buka topik lain :p
Moga ALLAH mengampunkan dosa-dosa kita yang mudah melabel, berprasangkan buruk dan mengeluarkan kata-kata yang seandainya kita tahu redha dan murka ALLAH atas perkataan yang disebut, nescaya kita memilih untuk mengunci lidah dari berbicara.
CEMBURU
“Tak cemburu ke…..????” inilah persoalan yang kerap diajukan kepada para isteri yang bermadu.
Duhai teman, jika anda seorang perempuan yang normal, anda akan cemburu. Bukan cemburu sikit-sikit, boleh jadi cemburu sangat-sangat. Kadar cemburu setiap orang itu berbeza-beza…
Dan saya adalah perempuan normal itu :P
Cemburu saya memuncak sebelum saya bernikah. Menghampiri tarikh pernikahan, saya tak dapat membayangkan kelak suami saya punya isteri lain yang diberi perhatian, yang disayangi, yang dirindui… dan macam-macam bayangan yang menjadikan hati saya tidak kuat untuk menampung rasa cemburu itu.
Saya pun terus menulis emel panjang lebar kepada bakal suami, bahawa saya ingin membatalkan lamaran yang diterima atas beberapa sebab-sebab, satu sebab sahaja yang saya tak tulis…bahawa saya sangat cemburu..saya tak mampu….. Terima kasih melamar saya menjadi isteri kedua.
Tapi saya tak sempat tekan butang ‘send’. Saya termenung di hadapan komputer. Ya ALLAH.. . betulkah tindakan ku ini..? Hanya kerana rasa cemburu, saya ingin membatalkan pernikahan yang dirancang. Adakah PERASAAN saya yang akan membuat keputusan, bukan petunjuk keimanan dan pemikiran yang matang dan waras..?
Airmata saya menitis, saya teringat bahawa saya selalu mengingatkan teman yang sudah bertunang dan mendekati pernikahan, jangan semudahnya memutuskan pertunangan hanya kerana cabaran-cabaran yang datang, hanya kerana ragu-ragu yang mencuit-cuit hati..hanya kerana perasaan yang bertukar-tukar dan tak tenang.
Fa’iza ‘azamta, fa tawakkal ‘alallah. (Setelah kamu bertekad, bertawakkal lah kepada ALLAH.) Rujuk Surah Ali Imran:159.
Saya delete emel untuk memutuskan lamaran itu, bismillah, saya tidak fikir lagi tentangnya. Saya hanya berdoa moga ALLAH permudahkan pernikahan kami.
Ya...memang takut sebenarnya, melangkah ke alam pernikahan bernama poligami, kerana ia sesuatu yang janggal dan masih belum diterima di hati-hati kita semua.
Saya meluah perasaan kepada seorang bapa saudara, abang kepada ibu saya,
“Paklang.. nanti kalau saya kahwin jadi isteri kedua, nanti esok kalau jadi apa-apa, macam mana saya nak hadapi..? Nanti orang kata – sape suruh jadi isteri nombor dua..???????”
Jawab Paklang, “Tak payah kita ramal-ramal masa depan ni.. Kita tak tahu. Memanglah risau kalau fikir macam-macam.. tapi sekarang ni kita buat dengan cara elok. Dia (bakal suami) pun dah datang jumpa mak abah dengan cara elok.. orang nya pun nampak elok.. Tak payah fikir sangat benda yang kita tak nampak”
Paklang nasihatkan - perlu bersedia menghadapi hidup berumahtangga, dalam masa yang sama, jangan keterlaluan memikirkannya, hingga kita takut untuk melangkah.
Yang saya kongsikan di sini, hanya tentang secebis kisah cemburu dan pandangan insan lain tentang poligami. Banyak lagi cabaran lain yang menduga, dan banyak lagi bentuk cemburu lain yang menjelma sepanjang pernikahan..namun ALLAH lah sebaik-baik Pemelihara.
Justeru, rasa cemburu, ragu-ragu, sedih, kecewa, takut, bimbang dan macam-macam rasa yang kalian lalui untuk menuju ke arah pernikahan, serahkan lah ia kepada ALLAH. ALLAH lah yang memegang hati kita… dan dengan rahmat ALLAH lah, perasaaan itu mampu kita terjemahkan dengan akhlak yang diredhainya.
Akan bersambung, moga perkongsian ini menjadi peringatan untuk menambah keimanan...
No comments:
Post a Comment