Chukai: Beberapa lagi saksi, termasuk Ketua Polis Daerah Kemaman mendakwa terdengar bunyi letupan kuat dari arah Laut China Selatan pada pagi Sabtu lalu, hari sama pesawat MH370 dilaporkan hilang.
Bagaimanapun, masa letupan yang didakwa oleh Superintendan Che Suza Che Hitam kira-kira jam 8 pagi berbeza dengan masa diceritakan saksi lain dan waktu terakhir pesawat itu hilang dari radar kawalan pada jam 1.30 pagi Che Suza berkata, beliau sendiri mendengar letupan kuat seperti dentuman bom dari arah laut ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman.
“Selepas dikejutkan dengan dentuman kuat itu, saya memeriksa arah bunyi kerana curiga perkara buruk berlaku. Bagaimanapun, selepas memeriksa berdekatan pantai, saya tidak temui sesuatu yang mencurigakan,” katanya ketika ditemui, semalam.
Beliau kemudian menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mendapatkan kepastian tetapi gagal mengesan punca letupan.
Periksa syarikat kuari
“Saya turut lakukan pemeriksaan dengan syarikat perlombongan kuari sekiranya mereka ada melakukan letupan pada pagi itu, namun dimaklumkan tidak melakukan sebarang aktiviti letupan.
“Sehingga sekarang, saya masih tertanya-tanya mengenai bunyi yang saya dengar,” katanya.
Terdahulu, pemandu lori di Kampung Pantai Seberang, Marang, mendakwa terdengar bunyi letupan yang kuat dari arah Timur Laut Pulau Kapas, Marang, pada pagi Sabtu.
Alias Salleh, 36, berkata dia bersama tujuh rakan mendengar bunyi letupan agak luar biasa dan menakutkan ketika berehat di sebuah wakaf di Kampung Pantai Seberang Marang pada jam 1.20 pagi Sabtu lalu.
“Kami bergegas ke tepi laut untuk mencari punca letupan tetapi tidak dapat melihat apa-apa,” katanya.
Bagaimanapun, dia mengesyaki bunyi letupan itu ada kaitan dengan MH370 sejurus mendapat tahu mengenai kehilangannya pada keesokan hari.
Alias membuat laporan polis di Balai Polis Marang, kelmarin.
Dalam pada itu, dua kaki pancing di Pantai Tok Jembal dekat Kuala Terengganu, mendakwa turut melihat cahaya lampu putih yang berkelip dipercayai daripada pesawat yang terbang rendah pada awal pagi, Sabtu lalu.
Lampu putih
Zaidi Mohamad, 49, berkata dia melihat lampu putih yang berkelip itu ketika memancing bersama Mohd Jasmin Mokhtar, 46, sekitar jam 2.30 pagi sebelum ia hilang dari pandangan.
Katanya, 10 minit selepas itu dia melihat cahaya terang berwarna kuning bentuk bulat kira-kira setengah jam pada jarak 10 batu nautika dari kedudukan tempat dia memancing.
“Pesawat itu seperti hendak mendarat kerana terbang pada paras rendah,” katanya ketika ditemui di tempat dia memancing di Pantai ToK Jembal di sini, semalam.
Zaidi berkata, dia tidak pasti sama ada pesawat dilihatnya MH370, tetapi berasakan ia ada kaitan.
Mengenai cahaya kuning, beliau berkata, ia berbentuk bulat dan semakin lama semakin besar serta menyala kira-kira setengah jam sebelum hilang dilindungi awan.
Mohd Jasmin berkata, dia turut melihat cahaya kuning terang berbentuk bulat selepas dimaklumkan Zaidi - bharian
Harap-harap jumpalah pesawat MH370 yang hilang ni...
No comments:
Post a Comment