Ibu angkat mampu menyusukan anak angkatnya tetapi terdapat beberapa persediaan yang perlukan perhatian rapi sebelum anda memulakan niat murni itu.
Persediaan pertama demi merealisasikan impian menyusukan anak angkat perlu bermula dengan kaunseling bersama perunding laktasi atau kaunselor laktasi. Anda dan suami amat digalakkan untuk mengikutinya sebagai persediaan mental dan fizikal sebelum menunaikan tanggungjawab memelihara anak angkat. Lakukannya dengan sekurang-kurangnya dua bulan sebelum bayi angkat diambil.
Semasa proses kaunseling, anda berdua akan dimaklumkan tentang proses yang bakal dilalui secara keseluruhan. Latar belakang anda akan diselidik daripada segi kesihatan, kemampuan dan kelapangan masa. Anda juga akan dimaklumkan tentang kesan sampingan jika ada, semasa proses cetusan laktasi berlaku. Seterusnya anda biasanya diberi pilihan pelan yang bakal dilalui bersesuaian dengan latar belakang masing-masing bagi membolehkan pengubahsuaian gaya hidup bersesuaian dengan kehadiran bayi yang bakal ditimang.
Apabila bayi diambil, anda harus memulakan 'ikatan' dengan bayi. Hal ini boleh dilakukan sendiri di rumah. Caranya ialah melakukan sentuhan kulit ke kulit dengan meletakkan bayi di atas dada.
Tujuannya untuk mewujudkan hubungan rapat yang pada masa bertindak sebagai sesi perkenalan di antara ibu dan anak. Dalam masa yang sama, suami turut digalakkan melakukan perkara yang sama.
Secara semula jadi, bayi tahu cara untuk mencari payu dara. Jadi, beri peluang kepada dia dengan membenarkan dirinya mengenali anda dengan lebih dekat. Ketika melalui proses ini, jangan paksa diri dan banyakkan bersabar sekiranya perlu menempuh beberapa cabaran yang tidak diingini.
Apabila bayi sudah membiasakan diri, dia dengan sendirinya akan memulakan proses penyusuan. Bertenang dan yakinkan diri walaupun tahu susu ibu belum ada. Oleh itu, biarkan bayi menghisap atau melekap pada payudara. Langkah seterusnya, anda perlu mempelajari dan mengetahui serba sedikit posisi penyusuan yang bersesuaian agar proses penyusuan akan datang dapat berlangsung dengan lancar.
Setelah bayi berjaya melekap pada payudara, dia perlu diberi 'ganjaran' atas usaha hebat yang dilakukannya. Antara kaedah yang boleh digunakan untuk memberi ganjaran kepada bayi ialah:
i. Titisan Susu. Dalam keadaan bayi melekap pada payudara, titiskan susu gantian yang terkandung di dalam botol susu perlahan-lahan ke mulut bayi. Picit sedikit-sedikit atau anda boleh sudukan susu di tepi bahagian payudara menghala ke mulutnya. Titiskan serapat mungkin dengan mulut bayi.
ii. Gunakan Tiub. Hujung tiub khas dilekatkan pada payudara manakala hujung satu lagi berada dalam bekas yang mengandungi susu gantian. Ini membolehkan bayi menerima susu gantian melalui tiub semasa dia menyusu pada payudara.
iii. Bantuan Supplemental Nursing System (SNS). Fungsi alat ini sama dengan kaedah kedua tetapi dalam sistem peralatan ini, kesemua peralatan dibekalkan dalam pakej. Antara alat yang ada ialah bekas penyimpan susu, tali untuk menggantung peralatan di leher, tiub dalam tiga saiz berbeza bersesuaian dengan kelajuan aliran susu yang diperlukan bayi dan pita pelekat untuk melekatkan tiub pada payudara. Sama seperti pilihan lain, ia membolehkan bayi melekap dan menyusu pada waktu yang sama.
Kunci utama dalam menjayakan matlamat menyusukan anak angkat ialah penghasilan hormon prolaktin dan oksitoksin di dalam tubuh. Kedua-dua hormon ini boleh dicetuskan apabila tubuh anda menerima rangsangan penyusuan secara berterusan dengan kerap setiap hari. Hormon prolaktin berfungsi menghasilkan susu. Manakala hormon oksitoksin pula berperanan memancutkan susu keluar daripada payudara. Memandangkan kedua-dua hormon ini dirembes oleh kelenjar pitituari di bahagian otak, maka ia langsung tiada kena-mangena dengan rahim. Oleh kerana itu, anda yang belum pernah hamil atau melahirkan bayi juga berupaya menghasilkan susu.
Perubahan
Ibu akan dapati terdapat perubahan pada payudara mereka. Perubahan yang berlaku pada payudara seperti membesar, puting berwarna lebih gelap dan ibu juga mula merasai "tingling sensation" atau rasa picitan. Bayi akan menghisap payudara ibu setiap kali menyusu walaupun pada mulanya meminum susu formula. Proses stimulasi ini akan meningkatkan aras hormon prolaktin untuk menghasilkan lebih banyak susu. Ibu juga harus berada dalam keadaan tenang dan sentiasa berperasaan sedang menyusukan anak. Ini adalah untuk merangsang hormon oksitosin yang akan memancutkan susu keluar.
Susu yang keluar pada awal biasanya berwarna jernih seperti air beras dan putih seperti susu biasa. Walaupun susu awal kolostrum yang berwarna kuning pekat tidak akan keluar, namun saya pasti ia cukup buat anda teruja kerana susu telah keluar daripada payudara anda. Lama kelamaan anda akan dapati payudara anda membengkak dan susu mula dihasilkan. Teruskan penyusuan. Namun, cara-cara perlekapan (latch) yang betul perlu dipelajari sejak awal untuk mengelakkan bayi anda keliru puting dan menolak puting anda. Percayalah, anda boleh berjaya.
Selain itu, ibu harus kerap mengepam payudara untuk merangsang payudara menghasilkan lebih banyak susu. Di sini konsep supplydan demand berlaku. Lebih banyak ibu menyusu bayi, mengepam dan mengosongkan payudara, lebih banyak susu yang akan dihasilkan. - Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain
Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Tengok ada yang ada?
No comments:
Post a Comment