Suami Jaclyn Victor Warga Amerika Cinta Pandangan Pertama pada Suaminya

SUASANA di dalam ruang legar Istana Budaya, Kuala Lumpur pada petang Selasa lalu indah dihias lampu kelap-kelip serta juntaian candelier yang dipasang sepanjang tangga menuju ke tempat para tetamu berkumpul.

Kelihatan puluhan kerusi kayu berwarna krim turut tersusun kemas menghadap sebuah meja panjang yang bertabirkan fabrik lembut berona hitam dan putih.

Pihak media yang hadir pada majlis sidang akhbar itu berkongsi rasa dan tujuan yang sama, kesemuanya berdebar menantikan pengumuman penting yang bakal dilakukan oleh penyanyi bersuara lantang, Jaclyn Victor.

Mengimbas kembali saat bermulanya teka-teki mengenai status penyanyi itu, Jaclyn dan ibunya telah singgah ke unit hiburan Kosmo! bagi mengedarkan kad jemputan ke sebuah majlis kira- kira sebulan yang lalu.

Walaupun telahan awal pihak media mengatakan Jaclyn bakal mengumumkan tarikh pernikahan pada majlis yang dirahsiakan pengisiannya itu, namun penyanyi berusia 36 tahun itu mempunyai agenda yang berbeza.

Mengenakan busana tradisi India berwarna biru gelap, Jaclyn akhirnya memperkenalkan Shawn Rivera, 40, iaitu ahli kumpulan R&B Az Yet sebagai suaminya kepada umum. Mereka telah berkahwin pada 19 Julai lalu. Teka-teki yang selama ini bermain di minda ramai akhirnya terjawab.


Cinta pandang pertama

"Semuanya bermula ketika Shawn dan anggota kumpulan Az Yet yang lain datang ke Kuala Lumpur bagi merakamkan lagu runut bunyi untuk filem Ribbit berjudul Magical Moment.

"Sewaktu saya melangkah masuk ke dalam studio, orang pertama yang saya pandang ialah Shawn. Apabila saya menyambut tangannya sebagai tanda perkenalan, dia terus menarik tangan saya lalu menciumnya. Saya sangat terkejut," tutur Jac membuka bicara.

Sambil tertawa, juara program realiti TV, Malaysian Idol musim pertama itu berkata, Shawn dilihat begitu bersunguh- sungguh untuk mengenalinya dan sering mengeluarkan kata-kata berbaur ke arah perkahwinan.

"Ketika merakamkan klip video bagi lagu Magical Moment, kami terpaksa berlakon di hadapan layar hijau (green screen) sambil mengenakan baju berwarna putih. Kebetulan, pada waktu itu saya juga turut memakai gaun berwarna sama.

"Dengan selamba, Shawn berkata adakah gaun ini yang akan saya pakai pada majlis perkahwinan nanti. Sejujurnya, saya terkejut dengan kenyataan tersebut," kata Jaclyn lagi.

Walaupun hanya bersua muka tidak sampai seminggu, bagi Shawn, Jaclyn adalah wanita terbaik pilihan hatinya.

"Saya jatuh cinta dengan Jaclyn ketika pertama kali memandangnya. Ia datang dengan sendiri dan cinta itu terus bersemadi dalam hati saya. Bagi saya, jika sesuatu perkara itu telah ditakdirkan serta ditentukan oleh Tuhan, maka ia akan berlaku. Sama juga dengan perkahwinan kami," ujar penyanyi kelahiran Puerto Rico itu.

Majlis tertutup

Rancak berbicara, Jaclyn yang sudah hampir sebulan mendirikan rumah tangga bersama Shawn memberitahu, dia tidak berniat untuk merahsiakan tentang majlis perkahwinannya itu daripada pengetahuan umum. Namun, dia lebih selesa mengada- kan majlis perkahwinan secara tertutup dan hanya dihadiri kaum keluarga terdekat sahaja.

"Saya dan Shawn berkahwin di sebuah gereja di tempat kelahiran suami saya di Philadelphia, Amerika Syarikat pada 19 Julai lalu. Kami hanya menjemput seramai 35 orang tetamu termasuklah kaum keluarga terdekat.

"Tidak terniat langsung untuk saya merahsiakan perkara ini kepada umum. Mereka yang sudah lama mengenali saya pasti tahu bahawa saya jenis perahsia dan tidak gemar menguar-uarkan kisah peribadi kepada khalayak. Tambahan, ibu saya juga turut berkehendakkan perkara yang sama," jelas pelantun lagu Ceritera Cinta ini.

Bercerita tentang persiapan majlis perkahwinannya itu, Jaclyn mendedahkan, dia terpaksa menyediakan segala kelengkapan dengan sendiri. Ia adalah bagi mengelak- kan majlis yang dirancang untuk dilakukan secara tertutup itu daripada diketahui umum.

"Saya terpaksa terbang ke Bandung, Indonesia bagi menempah kad jemputan perkahwinan dan pada masa yang sama, mengambil tempahan tersebut secara peribadi bagi mengelakkan pihak lain tahu bahawa saya sedang merancang majlis perkahwinan tertutup bersama Shawn.

"Selain itu, apabila majlis tersebut tamat, saya sendiri yang memuat naik fail raka- man video dan gambar rasmi ke dalam cakera padat kerana bimbang terhadap perkara sama. Sejujurnya, persiapan perkahwinan dan majlis pada hari ini (sidang akhbar) sungguh memenatkan," ujarnya.

Walaupun jatuh cinta pada pandangan yang pertama, namun jarak antara benua membataskan dua jiwa ini untuk sering berjumpa.

"Saya hanya berpeluang berjumpa Shawn tidak sampai lima kali sebelum kami melangsungkan perkahwinan. Lebih-lebih lagi apabila hubungan kami perlu dirahsiakan. Kami langsung tidak berlagak seperti pasangan yang hangat bercinta. Namun, itu semua tidak menjadi masalah.

"Kami sering berutus pesanan dan berbual menerusi aplikasi Tango. Mujur perkhidma- tan tersebut percuma!" berderai tawa Jaclyn dan Shawn ketika membicarakan tentang momen percintaan jarak jauh secara rahsia yang diselami sejak awal tahun 2013.

Tambah Jaclyn, dia sememangnya sudah bersedia untuk menjalani kehidupan sebagai isteri walaupun tidak menetap di bawah satu bumbung yang sama.

"Ketika kami bercinta, saya sudah bersedia dengan perkara sebegini. Namun, ia tidak menjadi penghalang kerana saya juga akan kerap ke Amerika Syarikat bagi mempromosikan album penuh bahasa Inggeris berjudul Unleashed di sana tidak lama lagi.

"Justeru, masa yang ada itu akan digunakan sebaik mungkin untuk berjumpa," ujarnya sambil mengakui dia kini berasa lebih lega setelah suaminya sudah mula diperkenalkan kepada umum.

Getaran Jiwa

Istimewanya, majlis pada petang itu turut diserikan oleh paduan suara secara duet antara Jaclyn dan Shawn menerusi lagu klasik Getaran Jiwa.

Diiringi oleh irama keybord petikan komposer tersohor, Aubrey Suwito, Shawn dilihat cukup fasih dan selesa ketika melantunkan lagu tersebut.

Ditebak kenapa lagu Allahyarham Tan Sri P. Ramlee itu menjadi pilihan mereka berdua, Jaclyn berkata, ia sungguh isti- mewa dan cukup unik melambangkan kisah cinta mereka berdua.

"Lagu Getaran Jiwa merupakan sebuah karya klasik. Ia begitu indah dan sesuai dijadikan iringan momen indah seperti petang ini.

"Lagipun, ia merupakan lagu bahasa Melayu pertama yang dinyanyikan oleh Shawn," tutur Jac sambil memandang wajah suaminya lalu tersenyum.

Ujar Shawn pula, lagu tersebut kena dengan jiwanya dan dia tidak mengambil masa yang lama untuk mempelajari lirik lagu yang dipetik menerusi filem Antara Dua Darjat itu.

"Walaupun pertama kali mendengar lagu ini, saya sudah dapat menghafal liriknya dalam masa yang sangat singkat.

"Selain itu, saya juga mahu mendalami bahasa Melayu. Bahasa ibunda negara Malaysia ini mirip seperti bahasa Sepanyol. Ia sangat mudah untuk dipelajari," luahnya sambil tersenyum.

Anak

Tidak sah jika soal zuriat tidak ditanya kepada pasangan yang baru mendirikan rumah tangga ini. Walaupun masing-masing sibuk dan bermaustautin di dua negara yang berbeza, namun ia tidak menjadi penghalang buat mereka untuk merancang dan berbicara tentang masa depan bersama.

"Kami memang mahukan anak tetapi bukan dalam masa yang terdekat ini. Mungkin pada penghujung tahun hadapan. Ketika itu, baru kami akan fikir untuk menetap di mana.

"Tetapi, Shawn lebih gemar untuk tinggal di Kuala Lumpur. Katanya, suasana di sini saling tidak tumpah seperti di Amerika," ujar Jaclyn.

Bagi Shawn, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerjayanya sebagai penggubah dan penerbit lagu jika dia menetap di sini.

"Saya begitu teringin untuk mencipta dan menerbitkan lagu untuk artis-artis tempatan. Siapa tahu, suatu hari nanti impian tersebut menjadi kenyataan," ujarnya mengakhiri bicara. - kosmo
--------------
Tahniah pada pasangan Shawn dan Jaclyn. 



Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...