Tips Bergaduh Sesama Boyfriend

Perselisihan faham atau pergaduhan yang berlaku dalam sesebuah hubungan biasanya berpunca daripada kelemahan sebelah pihak. Mengikut kajian sebuah majalah, lebih 90% pasangan bercinta berpisah kerana tidak boleh menerima kelemahan pasangannya.
Lebih kronik, lebih daripada separuh jumlah itu kesemua mereka bergaduh disebabkan sejarah lama pasangan yang diungkit semula dan dijadikan subjek perselisihan faham. Kenapa perlu kita ingat semula kisah lama pasangan kita kerana semua manusia punya sejarah masing-masing.
Ketika bercinta dan musim mengurat, semuanya nampak cantik dan sempurna. Tidak sekelumit terlihat negatif diri seseorang itu. Apabila si dia menceritakan kisah lamanya, kita pun dengar dan kononnya bersimpati. 

Tapi selepas sah menjadi kekasih, mustahil untuk kita terus menjaga setiap inci perbuatan itu. Berapa lama sangat untuk kita bertahan menjadi seorang yang sempurna apatah lagi terus menyembunyikan sejarah lama yang pernah kita kongsi sebelum ini?

Justeru mulalah terbit perlahan-lahan kelemahan diri. Kalau sekadar kentut atau selekeh masih boleh dijadikan bahan gelak. Tapi sikap dan perangai berubah adalah sesuatu yang dianggap serius dan sukar diterima.

Belum lagi kisah lampau yang sebelum ini si dia begitu simpati tapi kini pantang tercuit, habis semuanya diungkit dan mula dijadikan perbandingan. Padahal sebelum bercinta dulu, berbuih mulut berjanji kononnya terima seadanya tapi bila bergaduh sikit, semuanya dibongkar semula. 


Tiada rahsia antara kita

Kenapa kelemahan seseorang dijadikan penyebab sedangkan rasa cinta dan sayang sudah mula ada? Bagaimana pula seseorang individu itu tidak mampu menerima kisah lampau pasangannya sedangkan tiada manusia yang sempurna?

Perlu diingat, sejauh mana janji kita bersama pasangan yang tiada rahsia antara kita, sebenarnya masih ada sekelumit cerita yang kita sembunyikan kerana bimbang ia akan menjadi busuk jika dikongsi. 

Itu bukan menipu sebaliknya demi menjaga hubungan baik dan tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. 

Jika hanya kisah mengenai kekasih lama atau cerita percintaan lama adalah sesuatu normal bagi semua orang. Semua individu pernah melaluinya dan masing-masing menyimpan segala pengalaman sepanjang bercinta. 

Jika gagal, ada pengajaran yang dikutip dan sekiranya berjaya, kebahagiaan itu berterusan. 

Bagaimanapun ada juga individu menyembunyikan kisah silamnya yang mungkin terlalu peribadi dan tidak sepatutnya dikongsikan. Kisah pernah menjadi mangsa dera, rogol atau liwat, sejarah lama dengan keluarga dan seribu satu peristiwa lampau seseorang. 

Perlukah kita desak untuk pasangan kita ceritakan segala-galanya?

Itu jarang sekali berlaku untuk seorang lelaki. Mereka lebih gemar menyimpan kisah lama dan tidak mahu ia diungkit semula kerana hal itu akan merumitkan keadaan atau mengusutkan kepala apabila memikirkannya semula. 

Namun bagi kebanyakan wanita, mereka lebih cenderung untuk berkongsi apa saja sejarahnya dengan kekasih dan kemudian apabila hubungan itu terputus tengah jalan, ramai lelaki menggunakan kisah itu sebagai senjata. 

Ada baik dan banyak juga negatifnya. Justeru tidak perlu kita sibuk ingin mengorek sejarah seseorang jika dia berat untuk berkongsi. Mungkin si dia ada sebab mengapa sejarah lama terus disimpan dan langsung tidak dibuka. 

Gen.Y cuba mendapatkan komen dan pandangan dua anak muda berhubung hal ini bagi melihat perspektif ­mereka.


Kongsi lebih awal

“Sejak awal kami berkenalan, saya terlebih dulu berkongsi segala kekurangan saya agar tidak pula dipertikai di masa depan. Begitu juga dengan pasangan saya yang awal lagi memberitahu kelemahan dirinya. 

“Malah saya memang mendorong kekasih saya untuk kami menjalin hubungan dengan lebih serius dalam cara yang matang di mana kami bercerita soal hubungan lama ibarat tiada rahsia antara kami berdua.

“Saya belajar daripada kesilapan hubungan yang lalu di mana kekasih tidak mampu menerima apabila kisah cinta lama terbongkar dan menyebabkan dia berkecil hati dan mula membuat perbandingan.

“Pening kepala apabila kekasih tidak henti membuat perbandingan setiap kali kami bergaduh. Malah lebih teruknya ia akan membuat hingga perselisihan faham kecil itu menjadi serius.

“Justeru kali ini, saya terlebih awal membuat pengakuan dan berkongsi segala cerita silam agar tidak lagi dijadikan masalah kemudian hari. Alhamdulillah kekasih saya sangat memahami dan tidak sekali mengungkit kisah lama.

“Tapi saya tidak pernah menyesal dengan kegagalan masa lalu kerana ketika itu semuanya masih muda dan tidak boleh berfikir dengan lebih rasional. Darah muda membuak dan terlalu cepat membuat keputusan mengikut emosi. 

“Jujurnya kisah silam tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk menolak pasangan apatah lagi tidak mampu menerima kelemahan diri kekasih. 

“Kelemahan diri saya seperti susah mengatakan tidak atau selalunya terlupa dengan janji juga awal lagi sudah saya ceritakan kepada kekasih saya. Tapi bukanlah ia bermaksud untuk saya terlepas jika melakukan silap itu berulang kali sebaliknya saya ingin dia tahu yang saya bukannya sengaja ingin menyakitkan hatinya. 

“Maklumlah perempuan ini sedikit rumit dan mereka selalunya ingin semuanya sempurna tapi sebagai lelaki, adalah mustahil untuk sentiasa sempurna di depan kekasih. Tapi bagusnya dia dapat menerima setiap kelemahan saya dengan hati terbuka. 

“Saya sendiri menerima setiap kekurangan dirinya dan tidak sekali membandingkan kelemahannya itu dengan bekas kekasih atau mana-mana gadis lain kerana itu satu sikap negatif yang akhirnya menghancurkan hubungan. 

“Jika dia terlupa, lambat atau sedikit perlahan ketika saya dalam keadaan cepat, saya anggap itu kekurangannya dan jika dibentuk dengan baik, dia mampu berubah dan menjadi lebih baik daripada mana-mana gadis,” katanya.

Nama: Mohamad Hasraf Abdul Rahaman
Umur: 22
Lokasi: Johor
Emel: hasrafabdrahman@gmail.com


Jaga selagi boleh

“Kisahnya apabila saya yakin dan percaya si dia menjadi kekasih hati, saya akan terus meletakkan sepenuh kepercayaan kepadanya dan cuba untuk tidak mempertikaikan apa-apa berkaitan kekurangannya. 

“Pada saya, jika sudah saya terima, pastinya kesemua kekurangan itu sudah biasa untuk saya telan. Jika kelemahannya boleh memudaratkan kepada hubungan, saya akan terus berbincang dengannya untuk berubah.

“Tapi soal sejarah lama kekasih saya baik dengan kekasih lamanya ataupun apa-apa berkaitan keluarga, biarlah dia sendiri buka mulut untuk bercerita dan bukannya saya yang sibuk untuk mengorek rahsia. 

“Sebagai seorang perempuan, saya rasa lebih baik jika kisah silamnya tidak saya ketahui kerana jika saya tahu, bimbang ia akan mengusik emosi dan perasaan saya seterusnya bertindak bodoh hingga boleh mengganggu hubungan kami. 

“Semua orang ada kisah masing-masing dan saya sendiri mengaku ada beberapa perkara tidak perlu si dia tahu kerana terlalu peribadi dan bukannya penting untuk sesebuah hubungan. 

“Justeru jika kekasih itu punya kelemahan, ia tidak menjadi masalah kepada saya sebaliknya itu satu ruang terbaik untuk kita mencari titik persefahaman dan belajar untuk lebih menghargai seseorang. 

“Saya akan belajar untuk menerimanya dan menjaga hubungan itu selagi boleh,” katanya. - Noorul Hidayah Hasni

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...