BIARPUN umum sudah mengetahui Rozita Che Wan dan Zain Saidin bakal berkahwin tidak lama lagi, pelakon Singapura, Shah Iskandar masih dikaitkan dengan pasangan popular itu. Ini kerana baru-baru ini timbul cerita apabila Shah dikatakan berasa kecil hati dengan sikap dingin dan acuh tak acuh Rozita ketika mereka digandingkan sebagai penyampai di sebuah majlis anugerah. Sumber itu memberitahu, Shah sedih dan berasa kecil hati kerana sebelum naik ke pentas, Rozita yang pernah digosipkan bercinta dengannya itu begitu ramah melayannya. Sebaliknya, sebaik berada di atas pentas pelakon Kiah Pekasam itu bersikap dingin dan acuh tak acuh pula dengannya.Menurut sumber itu lagi, sikap dingin Rozita itu disebabkan dia risau kekasih hatinya, Zain, yang duduk di bawah pentas cemburu melihat dia bersama Shah.Malah, ada khabar mengatakan sememangnya Zain tidak selesa bakal isterinya itu digandingkan bersama Shah. Pemilik nama penuh Shah Iskandar Mahfuz yang ditemui pada majlis pratonton filem Oh Mak Kau di Cathay Cineplex Cineleisure, Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini, nyata terkejut dengan perkara tersebut. Dia sebaliknya menafikan pernah berkecil hati dengan Rozita. Bahkan, ujar Shah, dia sendiri tidak tahu menahu bahawa Zain berasa tidak selesa dirinya digandingkan dengan Rozita. "Saya tidak dengar ceritapun mengenai Zain tidak selesa saya digandingkan dengan Che Ta. Saya juga tidak berasa kecil hati seperti yang didakwa," ujarnya yang memberitahu dia tidak mempunyai masalah dengan Zain. Mengulas lanjut mengenai Rozita dan Zain, luah Shah, dia berasa kasihan terhadap pasangan itu kerana sering dilanda kontroversi. "Kadangkala saya kasihan dengan hubungan mereka yang sering dilanda kontroversi terutama di laman sosial. Saya gembira dengan berita perkahwinan mereka dan akan hadir sekiranya mendapat jemputan," ujarnya yang turut mendoakan yang terbaik kepada Zain dan Rozita.
Tidak kisah kekasih janda
Dalam pada itu, Shah berharap selepas perkahwinan pasangan itu, gosip cinta yang pernah mengaitkan dirinya dengan Rozita akan terus terpadam.Ungkapnya: "Cukuplah satu gosip itu sahaja kerana saya mahu menjadi pelakon yang bersih daripada sebarang kontroversi mahupun gosip liar."
Mengakui dirinya dengan Rozita sebelum ini tidak mempunyai sebarang hubungan, dedah Shah, sehingga kini dia masih solo tanpa kekasih.Begitupun, dia yang kini sudah berusia 31 tahun mempunyai sasaran untuk berkahwin dalam masa empat tahun lagi iaitu ketika usianya mencecah 35 tahun.
"Saya masih solo. Buat masa ini saya masih mencari dan cuba mengenali ramai wanita. Mengenai gadis pilihan, kalau boleh saya mahukan gadis yang memahami kerjaya lakonan saya," ujarnya yang turut mengakui menyukai gadis cantik.
Ditebak bagaimana sekiranya wanita yang ditemui berstatus janda, akui Shah, dia tidak kisah mengenai perkara itu asalkan berasa selesa ketika bersamanya.
Tidak kecewa
Mula berlakon di Malaysia sejak tahun 2009, walaubagaimanapun nama Shah tidak begitu menyerlah berbanding rakan senegaranya iaitu Aaron Aziz dan Adi Putra.
Ditebak sama ada dia kecewa dengan nasibnya, ungkap pelakon berusia 31 tahun itu, dia tidak berasa kecewa biarpun namanya belum setanding dengan Aaron Aziz dan Adi Putra.
Baginya, Aaron Aziz dan Adi Putra sudah lebih 10 tahun berada dalam industri berbanding dirinya yang masih hijau dan masih mencari identiti dalam membina kerjaya sebagai pelakon.
Begitupun, Shah mengakui pencalonannya sebagai Artis Baru Lelaki Popular untuk Anugerah Bintang Popular baru-baru ini sedikit sebanyak membuka ruang dan keyakinan kepadanya untuk terus mencipta nama.
"Saya tidak berasa kecewa biarpun nama saya idak begitu popular di sini jika dibandingkan dengan Aaron Aziz dan Adi Putra. Mereka juga mengambil masa yang agak lama untuk bertapak di sini. Saya rasa graf kerjaya saya di peringkat okey dan naik secara perlahan-lahan," akuinya yang meminati bidang pengacaraan.
Berkongsi mengenai minatnya terhadap bidang pengacaraan, jelas Shah, dia mula bertapak dalam bidang seni sebagai pengacara di Singapura.
"Ketika di Singapura saya banyak terlibat dengan beberapa program di sana. Peluang di bidang pengacaraan adalah lebih menyerlah berbanding lakonan ketika di Singapura. Tetapi, di Malaysia terbalik pula kerana peluang berlakon lebih banyak diperoleh daripada mengacara," ujarnya yang mengakui rindu untuk mengacara dan tidak tolak sekiranya ditawarkan.
Mengulas mengenai kerjaya lakonannya pula, ujar Shah, buat masa ini dia sering ditawarkan watak antagonis. Terbaharu, Shah bakal muncul membawakan watak antagonis dalam sebuah drama yang diadaptasi daripada novel berjudul Teduhan Kasih. Selain Shah, drama yang bakal ditayangkan di TV3 itu juga dibintangi oleh Adi Putra dan Sherry Ibrahim.
Mengakui teruja dan selesa membawakan watak antagonis, ungkap Shah, dia tidak takut penampilannya bakal mendapat kritikan pedas daripada penonton.
Taraf penduduk tetap
Mengakui peluang berlakon lebih cerah di Malaysia berbanding di Singapura, Shah bertekad untuk terus mengembangkan bakat lakonannya di sini.
Begitupun, dia tidak merancang untuk memiliki Taraf Penduduk Tetap (PR) dalam masa terdekat ini.
"Memang ada rancangan nak mohon PR tapi bukan dalam masa terdekat ini. Saya juga faham, ia bukan mudah kerana ada prosedur dan syarat-syaratnya.
"Saya sebenarnya tidak terlalu mengharap PR kerana masih bujang. Jadi saya tidak perlu risau tentang apa-apa kerana cukup dengan hanya visa lulus saya boleh cari makan di sini tanpa sebarang masalah. Lainlah seperti Aaron Aziz, dia ada keluarga malah, anak-anaknya juga bersekolah di sini. Jadi, dia sangat memerlukan kerakyatan," katanya yang pulang ke kota singa, sekurang-kurangnya sebulan sekali.
No comments:
Post a Comment