Derita Isteri ke dua siapa yang tahu?

Kisah di celah-celah kehidupan...Derita seorang isteri kedua...


Seorang lelaki bernama Amat (bukan nama sebenar) sudah mempunyai seorang isteri, sangat mencintai isteri pertamanya itu dan mengasihi anak-anaknya. Namun, dalam diam-diam, Amat sebenarnya mempunyai sejarah berkahwin dan bercerai dengan beberapa orang wanita lain tanpa pengetahuan si isteri yang pertama, Munah (bukan nama sebenar). Alasan pernikahan dengan isteri-isteri yang lain adalah kerana mempunyai keinginan nafsu seks yang sangat tinggi - sukar mengawalnya - bimbang terjebak dengan zina kerana Amat mempunyai kemampuan dari sudut kewangan dan kehebatan di ranjang. Semua pernikahan dan perceraian yang berlaku adalah di luar pengetahuan Munah dan anak-anak.

Setelah beberapa tahun setia pada seorang isteri yakni Munah apabila menceraikan isteri-isterinya yang lain, kerana alasan yang sama seperti sebelumnya juga, Amat membuat keputusan untuk mencari seorang lagi isteri. Bukan kerana Munah tidak mampu melayan keinginannya, Munah isteri yang taat, tapi kerana kasih dan kasihankan isterinya itu - Amat tidak sampai hati menyusahkan si isteri yang sudah agak berusia berjaga hingga lewat malam kerana 'melayannya'.

Amat lalu kemudiannya mencari jalan untuk mengahwini seorang lagi wanita. Dia mendapatkan bantuan seorang teman - dengan memberikan sedikit 'komisyen' bagi menyatakan lagi kesungguhannya itu. Si Teman yang sudah 'berbayar' mula menjalankan tugasnya sebaik yang mungkin.

Dengan kuasa Tuhan, entah dari mana hadirnya, setelah berusaha dan mencuba, Si Teman bertemu dengan seorang hamba Allah. Melalui hamba Allah ini, Si Teman berhubung dengan Esah (bukan nama sebenar). Dengan sedikit 'helah', Si Teman akhirnya berjaya memujuk Esah untuk menerima Amat sebagai suami. Berbekalkan 'janji-janji palsu' - Esah akhirnya selamat diijab dan kabulkan dengan Amat, sebagai isteri yang kedua.

Setelah bergelar suami dan isteri, Esah dan Amat hidup bahagia. Mereka saling memerlukan, cuba untuk saling memahami, terima kekurangan dan kelemahan masing-masing. Walaupun dalam ruang yang sangat sempit kerana pernikahan mereka terpaksa dirahsiakan. Sulit. Esah terpaksa berkorban dengan banyaknya.

Sebagai isteri ke-dua, Esah sedar kedudukannya. Tidak ingin dia menjadi punca pemusnah kebahagiaan rumah tangga orang. Sebanyak mungkin dia cuba bersabar dan redha. Biarpun selepas bernikah barulah sedar dirinya 'tertipu' - namun dia seadanya menerima segala takdir dari Ilahi. Lagi pula, Amat sangat baik terhadapnya. Cuma kelemahannya - Amat mempunyai komitmen yang sangat tinggi terhadap keluarganya, tidak mampu berhadapan dan berterus terang dengan keluarganya tentang pernikahan mereka, merancang untuk merahsiakan pernikahan yang kedua itu daripada pengetahuan umum hingga selamanya.

Sebagai isteri sulit, Esah yang parah! Di luah mati emak, di telan mati bapak. Pernikahan apakah ini? Bertemu cuma beberapa kali seminggu. Hanya beberapa jam. Tiada rumah dan tangga untuk mereka berdua membina keluarga sebagaimana keluarga yang lain. Berhubung melalui telefon pun jarang. Hanya bila Amat yang memulakan panggilan. Kalau Amat tidak call seminggu, seminggulah mereka tidak berhubung. Jika pun ada kecemasan, Esah terpaksa menempuhinya seorang diri. Apa erti mempunyai suami?

Pernikahan apakah ini? Demi menyembunyikan dan merahsiakan sebuah ikatan yang sah di sisi agama, selama-lamanya - (Dan juga faktor-faktor lain), Amat merancang untuk tidak mempunyai anak bersama Esah.

Pernikahan apakah ini? Demi untuk tidak mahu menggoncang kebahagiaan keluarga Amat, merahsiakan statusnya selama-lamanya, Esah sampai pernah terfikir. Jika suatu hari nanti, Amat sudah meninggal dunia - bagaimana dia boleh cari tahu? Dia tidak akan sanggup mengganggu keluarga Amat untuk bertanya khabar sekiranya Amat mendiamkan diri. Maka Esah sanggup minta taklik daripada Amat. "Sekiranya abang tidak berhubung lebih daripada enam bulan, jatuh talak satu." Jika Amat tidak menghubunginya, lebih daripada enam bulan, maka, tahulah Esah bahawa Amat sudah meninggal dunia. Sadis. Entah di mana kuburnya. Entah bila tarikh kematian - Esah tak akan ambil tahu lagi. Esah takkan ganggu keluarga Amat. Esah akan redha dengan ketentuan-Nya.

Bodoh betul Esah, kan? Kenapa tidak tuntut cerai? Tunggu dulu.. Esah dan Amat ada jawapannya yang tersendiri. Bukan tidak pernah minta cerai. Tapi Amat ini baik akhlaknya, pandai mengambil hati Esah, menghiburkan Esah, men pandai pula bermain kata, "kita akan bersama selamanya". Carilah Esah. Di tambah pula, Esah ini cita-citanya besar - mahu jadi isteri yang taat. Kononnya inginkan tiket ke syurga dengan cara itu. Maka, redhalah dia seadanya menjadi isteri Amat dalam ruang yang sangat sempit.

Panas disangka hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Entah bagaimana silapnya, akhirnya Munah dan anak-anak Amat dapat menghidu perhubungan mereka. Taufan melanda. Mereka mendesak dan dalam masa kurang 5 hari - Amat menjatuhkan talak kepada Esah. Alasannya mudah, pihak satu lagi dah lama hidup bersama, dengan Esah cuma beberapa bulan. Pihak lagi satu ramai, dengan Esah cuma melibatkan Esah seorang. Mudahnya!

Tidak cukup dengan itu, Amat menceraikan Esah di hadapan Munah - barangkali ingin memuaskan hati si isteri pertama. Menebus 'kesilapan'. Menghiburkan hati Munah. Lansung terlupa tentang hati perasaan Esah.

Terlupa juga, sebelum mengambil Esah sebagai isteri, Amat dan Si Temannya itu menebalkan muka, merendah diri bertemu Esah dan keluarganya untuk mendapatkan izin. Terlupa bahawa Esah ini juga ada emak bapak, ada adik-beradik. Terlupa bahawa Esah ini juga anak orang, adik orang, kakak orang.
-----------------------------------------------------------------------
Betapa manusia ini, terlalu mementingkan diri sendiri. Sedarkah mereka akan dosa meruntuhkan rumah tangga orang? Sedarkah mereka, bahawasanya mereka telah menzalimi salah seorang saudara seagama mereka? Hina sangatkah menjadi isteri kedua? Apakah dosa menjadi isteri ke-dua?

Benar, Islam menghalalkan poligami, tapi dalam kes kita kali ini, jelas ternyata bahawa menjadi isteri ke-dua bukan mudah... Esah bukan sahaja tidak mendapat keadilan ketika bergelar isteri, malah dizalimi. Sedangkan dalam Islam tiada beza antara isteri pertama, kedua, ketiga atau keempat. Esah juga diceraikan dengan sebab yang 'remeh' - keluarga isteri pertama menentang. Ini merupakan suatu bentuk penindasan. Dan seterusnya, sesudah diceraikan, Esah lansung tidak mendapat sebarang pembelaan. Sedangkan dalam Islam telah menggariskan dengan jelas hak-hak isteri setelah diceraikan
Sekali lagi, bukan niat saya sengaja memburuk-burukkan poligami. Tapi, suka saya ingatkan, sebelum membuat keputusan untuk bermadu, fikirlah terlebih dahulu. Ini bukan satu-satunya kes 'hitam' hidup berpoligami. Ada banyak lagi. Esah, Amat, Munah, anak-anak mereka bukanlah sebarangan orang. Mereka berpendidikan, berilmu, tahu hukum-hakam, tapi, masih juga wujud kepincangan. Si Teman yang menjadi orang tengah juga, bukan sebarangan orang. Imam besar masjid terkemuka, tapi tetap juga terjadi penyelewangan. Menyalahkan takdir bukanlah satu-satunya penyelesaian. Tapi, sebaik-baiknya, walau apa jua yang terjadi, sama-sama kita ambil iktibar agar ia tidak berulang lagi samada kepada diri kita sendiri, ataupun masyarakat sekeliling kita.

Andai, suatu hari nanti, ada kenalan kita, atau keluarga kita, atau kita sendiri - dilamar untuk menjadi isteri kedua, atau ketiga, atau ke-empat. Tolonglah nasihatkan mereka, atau diri kita sendiri agar berfikir panjang sebelum membuat keputusan. Poligami tiada salahnya, yang salah adalah mereka yang mengotori kesuciannya. Benar, dalam Islam, suami boleh bernikah lebih daripada suatu - tanpa keizinan isteri pertama.

Tapi! Tolonglah jangan teruskan pernikahan sekiranya isteri pertama tidak mengizinkan, jangan teruskan pernikahan sekiranya ia secara rahsia kerana kelak nanti kesannya sangat buruk. Jarang yang mempunyai kesudahan yang baik. Jika ada lamaran, siasat betul-betul, minta petunjuk daripada Allah swt, jangan sepenuhnya percaya kepada orang tengah seratus peratus, tambah-tambah lagi orang tengah itu kenalan baru. Biarpun dia itu ustaz atau imam besar. Mereka mungkin tidak jujur dan ada niat yang tersendiri.

Kepada sahabat-sahabat yang dikasihi Allah. Mungkin kalian ada yang pernah terfikir, "Daripada aku menjadi andartu, baiklah aku hidup berpoligami"

Untuk persoalan sebegini, suka saya nyatakan. Apalah salahnya menjadi andartu andai sendiri itu lebih aman dan damai, kita tidak menyakiti hati sesiapa, tiada persengketaan, tiada kebencian. Pun begitu, saya bukanlah sesiapa, tidak layak membuat keputusan untuk sesiapapun, sedangkan saya sendiri, pun, masih bertanda tanya.

Kepada sahabat-sahabat muslimah yang saya kasihi. Tiada yang mudah dalam hidup ini. Semuanya ada 'harga' yang perlu dibayar. Berpoligami atau tidak. Terserah kepada anda. Pun begitu, sila ukur baju pada badan sendiri. Andai takut dilambung ombak, jangan berumah ditepi pantai. Andai takut terbakar, jangan bermain dengan api. Fikir baik dan buruk sebelum membuat keputusan, fahami dan kaji setiap kebarangkalian risiko yang mungkin akan timbul pada masa akan datang.




Sahabat. Walau apa pun yang sedang dilalui, la tahzan, la tai asu. Sentiasalah ingat bahawa Allah memberi ujian hanya kepada hamba-Nya yang mampu. Maka, walau apa jua situasi, percayalah, kita mampu menghadapinya, dengan izin Allah swt.

Jangan bersedih, jadilah wanita yang paling bahagia. Beruntunglah kita andai kita dapat mengikut jejak langkah Khadijah mahupun Fatimah. Tapi. Mungkin juga takdir kita sudah tertulis, seperti Asiah - isteri Firaun. Atau mungkin seperti Maryam yang kekal menjaga kesuciannya. Wallahua'alam. Kita tidak tahu. Yang mana satu pun tak apalah, mereka dijamin syurga. Asalkan kita tidak menjadi seperti isteri Nabi Luth dan isteri Nabi Nuh. Suami mereka adalah manusia terpilih, insan soleh, nabi pembawa wahyu tapi sayangnya, isteri-isteri mereka dilaknat Allah swt. Naauzubillah..Nukilan AsNiza

Punyai Masalah Matching Color?
Sinar Jahitan punyai koleksi
Jubah, Dress, Blouse, Shawl, Hanbags, Clutches, Shoez
berbagai warna dan sepadan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...