Wanita Mandul Sebab Jin


Kemandulan boleh berlaku, sama ada pasangan yang terlibat tidak mendapat anak sejak berkahwin (mandul primer), ataupun berlaku di mana mereka pernah mendapat cahaya mata (mandul sekunder). Hal demikian boleh terjadi di atas sebab yang berbeza, sama ada melibatkan pihak lelaki atau perempuan ataupun kedua-duanya sekali.

Suami perlu berupaya mengeluarkan benih (spermatozoa) yang cukup dan segar untuk disenyawakan di mana ia bergantung kepada saluran produktif dan ovari.

Mandul pada pihak perempuan boleh berlaku kerana tidak ada keseimbangan hormon, aliran telur yang terganggu akibat saluran yang menyekat. Terdapat pelbagai kaedah dan rawatan yang terkini, yang dilakukan di hospital-hospital, dalam usaha mengatasi atau menolong masalah mandul.

Wahid Abdul Salam Bali membahagikan kemandulan itu kepada dua, iaitu kemandulan yang berlaku secara tabii, yang boleh dirawat oleh para doktor, sebagaimana lazimnya dan kemandulan yang berlaku akibat gangguan jin yang boleh dirawat menggunakan ayat-ayat al-Quran, doa-doa dan zikir.

Kemandulan yang berlaku akibat gangguan jin mempunyai tanda-tanda tertentu, antaranya:

1. Rasa sesak dada terutamanya selepas waktu asar, yang mungkin berlarutan hingga tengah malam.

2. Kusut fikiran.

3. Sakit di bahagian tulang-tulang belakang.

4. Mengigau ketika tidur.

5. Bermimpi dengan mimpi yang menakutkan.

Menurutnya lagi, kemandulan yang berlaku pada kaum wanita, di mana jin itu akan tinggal dalam rahim dan merosakkan benih, menyebabkan benih-benih itu rosak dan tidak subur ataupun ia dibiarkan subur dan sempurna tetapi diganggu selepas beberapa bulan hamil, menyebabkan turun darah, lalu keguguran. Keguguran yang berlaku berulang kali boleh terjadi akibat daripada gangguan seperti ini.

Gangguan seperti ini menurut pengalamannya boleh dirawat atau diatasi menurut kaedah yang dijelaskan. Termasuk dalam hadis Safiyah binti Huyay bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya syaitan itu berjalan dalam tubuh anak Adam melalui pembuluh darah - Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Al-Qadi Badruddin. Abi Abdullah dalam bukunya bertajuk, Garaibu wa Ajaibu `l-Jinn (1983:144-145) menjelaskan tentang satu hadis riwayat oleh Abu Daud, Imam Ahmad dan At-Tarmizi, yang menyatakan tentang seorang perempuan bernama Hamnah binti Jahah yang mengadu meminta petua kepada Rasulullah kerana mengalami masalah turun haid yang begitu lama.

Baginda menyuruhnya agar menggunakan kapas. Hamnah menjawab mengatakan yang dia telah berbuat demikian. Baginda menyuruhnya agar menggunakan kain yang agak tebal. Apa yang disuruh oleh baginda juga telah dilakukan olehnya. Akhirnya baginda bersabda: Bahawa darah istihadah itu adalah sepakan daripada sepakan-sepakan syaitan - Riwayat At-Tarmizi.

Wahid Abdul Salam Bali (1412H:113) juga menjelaskan kaedah untuk merawat mereka yang mengalami masalah kemandulan akibat gangguan jin seperti dijelaskan di bawah ini:

1. Bacakan doa-doa menghindar syaitan termasuk doa menghindar sihir. Doa-doa ini boleh juga dirakamkan dan diperdengarkan kepada pesakit selama tiga kali setiap hari.

2. Ia hendaklah membaca surah as-Saffat pada waktu subuh, ataupun diperdengarkan kepadanya.

3. Membaca surah al-Ma’arij ketika hendak tidur, ataupun diperdengarkan kepadanya.

4. Bacakan surah al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah al-Baqarah, surah Ali-Imran dan surah al-Mu’awwizat sebanyak tujuh kali, pada minyak zaitun kemudian disapukan pada dada, dahi dan tulang belikat sebelum tidur.

5. Bacakan ayat-ayat yang sama pada satu sudu madu asli dan kurma untuk dimakan setiap hari sebelum sarapan.

Amalan ini hendaklah dilakukan selama tiga bulan di samping mengamalkan suruhan syariah agar ia menjadi mukmin yang sebenar, yang disembuhkan oleh Allah bertepatan dengan firmannya (Isra’: 82) Dan Kami turunkan daripada al-Quran suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi mereka yang beriman.

Menurut Wahid Abdul Salam Bali lagi, Allah telah menentukan penawar dan kesembuhan bagi mereka yang beriman. Banyak orang yang menghadapi masalah seperti ini dirawat menurut kaedah yang dijelaskan dan sembuh dengan izin Allah.

Jelasnya perempuan yang menghadapi masalah keluar darah akibat gangguan yang boleh menyebabkan mandul hendaklah dirawat menggunakan doa-doa berkaitan dengan sihir seperti yang dijelaskan, di samping berusaha mendapatkan nasihat daripada doktor pakar.

Untuk memperkuatkan tubuh pesakit, madu asli yang dicampur dengan jintan hitam diminum pada waktu pagi, sebelum sarapan dan sekali pada waktu malam sebelum tidur. Bacakan bahan tadi dengan bacaan surah Yasin dan surah al-Jin.

Menurut Asy-Syeikh Abdul Aziz Makmum Isa (1991-55) ada dua punca utama terjadinya masalah yang dihadapi oleh kaum wanita yang terlibat, selain daripada sebab-sebab fizikal:

1. Akibat sihir.

2. Kecenderungan jin ketika memandang perempuan yang berkenaan.

Jin-jin suka mendatangi perempuan yang suka bersolek berlebih-lebihan, yang tidak menjaga sembahyangnya, tidak membaca al-Quran, tetapi gemar mendengar nyanyian ataupun muzik keterlaluan, suka membuka aurat, juga gemar duduk bersolek di hadapan cermin.

Mereka tidak menyedari bahawa perbuatan seperti ini menjadi tarikan jin-jin. Mereka masuk dalam bilik air, lalu menyanyi dan mandi dalam keadaan telanjang, padahal bilik air adalah di antara tempat kegemaran jin-jin, jantan dan betina, menyebabkan salah satu daripada makhluk-makhluk tadi tertarik pada jasadnya lalu ia meresap dalam tubuh dan mengganggunya.

Untuk merawat pesakit seperti ini, selain daripada kaedah yang dijelaskan di atas, kaedah berikut hendaklah diikuti:

1. Berpakaian menutup aurat dan bertudung, di samping menjauhkan diri daripada tabiat terlalu suka bersolek di hadapan cermin.

2. Mendengar surah al-Baqarah sekali di siang hari dan sekali pada waktu malam dalam bilik tidur. Paling baik orang yang terlibat membacanya.

Andainya pesakit menjadi tidak menentu, menggigil tubuh, sesak nafas, sakit dada ataupun sakit pada bahagian mata, suruh pesakit

1. Mendengar ayat-ayat al-Quran terus-menerus, terutamanya surah al-Baqarah, yasin, as-Saffat, ar-Rahman, ad-Dukkhan dan surah al-Jin tidak kurang daripada enam jam setiap hari.

2. Menjaga sembahyang pada waktunya, juga sentiasa berzikir.

3. Membaca surah Yasin ketika berada di tempat pembaringan dan tidur mengiring sebelah kanan dalam keadaan berselimut, membaca dua kalimah syahadah dan berdoa: Tuhanku, sesungguhnya kutumpukan wajahku pada-Mu, andainya Kau matikan daku pada malam ini, matikanlah daku dalam keadaan Islam, dan andainya Kau hidupkan daku, maka hidupkanlah aku untuk mengingati akan Dikau.

Al-Quran memperakui tentang adanya jin-jin. Terangkum dalam golongan jin ialah iblis dan syaitan. Begitu juga daripada keterangan hadis-hadis. Malah al-Quran sendiri menyatakan Allah menjadikan jin itu lebih awal daripada Adam.

Pada dasarnya, jin-jin ini sukar mengganggu fizikal manusia, kerana nature kejadian makhluk ini dengan manusia adalah berbeza. Apa yang sering berlaku ialah gangguan pada roh manusia, yang disalurkan melalui mimpi. Kerana itulah maka apabila seseorang itu diganggu oleh makhluk ini, ia akan menghadapi masalah ketika tidur.

Syeikh Salam Bali (1992:73) membahagikan tanda-tanda gangguan tersebut kepada dua bahagian, iaitu ketika tidur dan ketika dalam keadaan jaga.

Gangguan ketika tidur sering berlaku apabila seseorang itu hendak terlena, juga ketika sedang tidur nyenyak. Mungkin seseorang itu terasa perutnya ditusuk dengan jarum, lembing atau benda tajam yang tidak kelihatan, dilanggar kenderaan menyebabkan darah kelihatan bertaburan, diterkam oleh makhluk yang menakutkan dan sebagainya sebaik-baik sahaja hendak terlena.

Gangguan yang menakutkan dan menyakiti seperti ini datang lagi sebaik-baik sahaja seseorang itu memulakan tidurnya lagi. Pengalaman seperti ini menyebabkan seseorang itu rasa takut dan bimbang hendak menyambung tidur.

Mereka yang bermasalah seperti ini juga sering bermimpi melihat makhluk ganjil, hitam, tinggi lagi menakutkan. Dikejar dan ditangkap oleh makhluk besar, lalu diselamkan dalam air menyebabkan pesakit terasa lemas, tercungap-cungap sukar bernafas.

Mimpi melihat binatang yang menakutkan, mimpi berada di tempat asing lagi menggerunkan seperti berjumpa mayat atau berjumpa orang yang meninggal dunia. Terasa seolah-olah berada di awang-awangan, di tempat tinggi, di gunung ataupun hutan lalu jatuh ke bumi.

Hadis daripada Jabir r.a menceritakan tentang seorang Badui telah datang menemui Nabi lalu berkata: Ya Rasulullah, aku bermimpi, kepalaku seolah-olah dipukul bergulung-gulung, kesan pukulan itu sungguh menyakitkan sekali. Rasulullah berkata kepada Badui tadi: Jangan kau ceritakan kepada orang lain tentang permainan syaitan terhadapmu ketika tidur.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...