Kisah Sedih Pagi Raya Seorang Isteri


Semakin dekat Aidilfitri, hati Munah, 35, semakin berdebar-debar. Ini kerana ibu kepada empat orang anak ini pasti dapat menduga apa yang akan terjadi, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
Sebagai seorang suri rumah, Munah memang bergantung penuh kepada suaminya. Memandangkan tidak bekerja dan tinggal di kawasan berdekatan, dia diminta tinggal di rumah ibu mentuanya bagi membantu warga emas itu menguruskan rumah. Ini kerana mertuanya hidup berseorangan selepas kematian suami, tujuh tahun lalu.

Memandangkan suaminya, Borhan, seorang anak yang baik, dia tidak menolak cadangan ibunya dan Munah pula ikhlas bersetuju demi membantu ibu mentuanya.
Borhan mempunyai enam orang adik-beradik, dan suaminya itu merupakan anak yang ketiga. Adik-beradik Borhan pula, empat lelaki dan dua perempuan. Cuma Borhan yang tidak berpelajaran tinggi dan bekerja sebagai seorang kerani di sebuah kilang. Berbanding adik-beradik dan ipar-duai lain, keluarga Borhan yang paling jauh ketinggalan.


Tetapi Munah tidak merasakan semua itu satu halangan kasihnya kepada suami, kerana dia merasakan Borhan adalah suami yang cukup sempurna dan baik. Malangnya, ibu mentua Munah mengambil kesempatan di atas kebaikan menantu dan anaknya itu.
“Setiap kali Aidilfitri, ibu mentuanya berasa sangat gembira memandangkan anak-anaknya akan balik ke kampung beraya bersama. Biarpun sekejap, namun itu sudah cukup memadai. Anak menantunya memang jarang balik ke kampung memandangkan mereka bekerja dan jauh dari kampung.
Oleh itu kepulangan mereka ke kampung umpama perkara yang paling dinanti-nanti oleh ibu mertuanya.
“Sejak saya tinggal di rumah, segala urusan memasak, mengemas dan menguruskan rumah memang saya yang lakukan. Bangun tidur saya membuat sarapan, kemudian menghantar dan menjemput anak ke sekolah, memasak makanan tengah hari dan membasuh 
baju.
“Tugasan saya akan bertambah setiap kali Ramadan kerana saya bangun untuk menyediakan sahur. Kerja menguruskan rumah semakin berat setiap kali menjelang akhir Ramadan kerana waktu itu kebanyakan ipar-duai saya mula balik ke kampung.
“Nasib ibu mentua saya baik kerana saya tidak akan pulang beraya ke mana-mana kerana ayah dan ibu saya sudah meninggal dunia. Di kampung hanya tinggal dua adik-beradik yang lain. Jadi, setiap tahun saya akan beraya bersama mentua,” katanya yang memberitahu anak-anaknya berusia antara dua hingga sembilan tahun.
Munah menjelaskan, kerja-kerja tambahan bermula seminggu sebelum Aidilfitri kerana waktu itu dia terpaksa mengemas bilik yang bakal digunakan oleh ipar-duai, mengemas rumah, menggantung langsir. Itu belum lagi membuat kuih raya.
Menjelang akhir Ramadan, terpaksa pula memasak juadah raya. Mentuanya ada membantu tetapi kudratnya yang sudah tua tidak mampu untuk memasak yang berat-berat.
Ipar-duai hanya akan sampai selepas berbuka puasa, menjelang dinihari atau selepas sembahyang sunat hari raya atas alasan masalah kesesakan jalan raya atau tidak mengambil cuti awal.
“Apabila mereka balik, lauk juadah raya sudah selesai dimasak, malangnya selepas berbuka, saya juga yang akan membasuh pinggan mangkuk dan mengemas dapur. Mereka semua akan masuk ke bilik masing-masing dengan alasan penat berjalan jauh. Mentua juga 
mengarahkan saya mengemas tanpa bantuan mereka.
“Apa yang menyedihkan, rumah mentua saya mempunyai enam bilik, satu bilik ibu mentua, satu bilik saya dan suami dan satu bilik lagi menempatkan anak-anak.
Tetapi apabila ipar-duai balik, anak-anak saya terpaksa beralah untuk memberikan bilik itu kepada anak-anak mereka kerana tidak biasa tidur di ruang tamu biarpun anak-anak mereka masih kecil lagi.
“Dipendekkan cerita selepas balik dari sembahyang sunat hari raya, saya yang menguruskan segala juadah buat mereka. Sedih saya rasa kerana setiap tahun tidak berpeluang memakai baju baharu kerana asyik berada di dapur. Apabila mereka keluar beraya, saya dan suami berada di rumah kerana melayan tetamu lain yang berkunjung ke rumah pula, memasak untuk makanan tengah hari, dan mengemas kain baju. Sedangkan ibu mentua dan ipar-duai ke rumah saudara-mara lain memandu kereta mewah masing-masing.
“Jadinya, saya tiada masa untuk beraya, sehinggalah ipar-duai saya balik semula ke rumah mahupun beraya di kampung isteri atau suami masing-masing, barulah saya boleh pergi beraya ke rumah jiran-jiran,” jelasnya.
Bagi Munah, saat yang amat menghiris hatinya apabila berkumpul bersama, ipar-duai akan memberikan hadiah, kain baju yang mahal serta sampul duit raya yang bukan sedikit jumlahnya kepada mentuanya.
Tersipu-sipu orang tua itu kebanggaan. Tetapi Munah sendiri tidak dapat memberikan apa-apa dan sedar dia tidak akan dapat menggembirakan mentuanya pada saat itu.
Apakan daya, ipar-duai dan menantu mentuanya bekerja. Malah memegang jawatan yang hebat-hebat.
Selalunya, selepas ipar-duai balik dan apabila ada tetamu berkunjung tidak henti-henti ibu mentuanya memberitahu tetamu yang hadir mengenai hadiah dan kebaikan serta kejayaan anak-menantunya.
Tidak sedikit pun mentuanya menyebut nama Munah, sedangkan dia yang menguruskan rumah dan menjaga kesihatan mertuanya.
Apa pun sehabis boleh Munah cuba menahan rasa kecil hatinya itu. Dia sedar siapa dirinya dan hidup menumpang di rumah itu.
Selagi kasihnya tercurah kepada suaminya dia akan setia, biarpun Borhan menyedari kesengsaraan Munah, namun Munah sendiri enggan memanja-manjakan dirinya. Bagi Munah, biarlah segala apa yang dilakukan merupakan amal jariah dirinya buat ibu mentua. - utusan

kalau anda nak tingkatkan keyakinan diri, cuba KLIK SINI mungkin alat ini dapat membantu
-

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...