Kuala Lumpur: Hanya bermodalkan iklan menjual rumah yang ditampal di pokok, tiang lampu atau dinding kedai, ejen hartanah haram dikesan mengaut keuntungan mudah memperdayakan pembeli terutama mereka yang terdesak mahu memiliki kediaman.
Modus operandi penipuannya pelbagai, namun persamaannya mereka cuba memujuk pembeli membayar sejumlah wang sebagai komisen atau pendahuluan secara halus dengan mendakwa rumah yang bakal dibeli sedang ‘panas’ di pasaran kerana ramai yang berebut mahu mendapatkannya.
Selepas mendapat wang biasanya secara tunai atau cek atas nama individu, ejen haram itu menghilangkan diri dan muncul semula menjual rumah dengan nombor telefon baru.
Sasaran mereka biasanya pembeli yang berpendapatan sederhana dan mahu memiliki rumah berharga sekitar RM400,000 ke bawah.
Mendedahkan perkara itu, Pendaftar Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah Malaysia (LPPEH) R Mahaletchumi berkata, kes penipuan ejen haram semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini, malah pihaknya ada mengesan kad perakuan yang dikeluarkan LPPEH untuk ejen berdaftar turut dipalsukan.
“Kes itu dikesan di Pulau Pinang apabila ada pihak cuba meniru tandatangan saya pada kad perakuan ejen hartanah palsu.
“Saya boleh katakan penipuan membabitkan ejen tidak berdaftar agak membimbangkan kerana pihak kami menerima 20 aduan sebulan daripada pembeli yang ditipu,” katanya, semalam. Beliau berkata, ejen hartanah yang berdaftar dengan LPPEH perlu mengikut garis panduan tertentu ketika berurusan dengan pembeli termasuk semasa mengiklankan sesebuah hartanah seperti mempamerkan nama syarikat, logo LPPEH, nombor pendaftaran selain nama dan telefon.
“Ejen tidak berdaftar memang mempunyai niat menipu pembeli. Sebab itu mereka iklankan di merata tempat termasuk di pokok, atau dinding kedai dengan hanya meletakkan nombor telefon menyatakan rumah dijual, dilelong bank atau memerlukan pembeli segera,” katanya.
Mahaletchumi berkata, rekodnya mendapati ada pembeli ditipu sehingga kerugian RM300,000 dan membuat aduan kepada LPPEH untuk tindakan.
“Selepas mendapat aduan, pegawai penyiasat akan kumpul maklumat dan dirujuk kepada polis, namun kebelakangan ini kes yang kami terima menunjukkan trend membimbangkan,” katanya.
Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya memperkenalkan kad perakuan kepada ejen dan perunding yang perlu dipakai ketika berurusan dengan pembeli sebagai bukti mereka berdaftar dengan LPPEH.
Katanya, ketika ini, terdapat lebih 2,000 ejen selain 20,000 perunding berdaftar dengan LPPEH.
Harap maklum!
Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah
Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah
No comments:
Post a Comment