Baru saja lepas menonton telemovie Pondok Pak Ya yang meragut 27 orang putri yang mati syahid. Sedih mengenangkan mereka yang masih lagi muda belasan tahun sangat naif dan banyak pengaruh kawan-kawan.
Kesimpulannya saya dapat dari telemovie ni.
Sekolah asrama perlu perketatkan peraturan tidak dibenarkan masak dan memasang lilin. Saya juga bekas sekolah asrama, memang peraturan ni diperkenalkan sejak awal lagi. Lampu memang kena padam pukul 11 malam mana-mana sekolah asrama pun sama. Tapi kalau nak study, dibenarkan guna bilik study lain yang berdekatan. Tapi tidak dibenarkan stay up masa dalam asrama.
Itulah kes yang terjadi di Pondok Pak Ya. Diorang ni pasang lilin bila lampu dipadam pukul 11 malam. Akhirnya sebab leka mereka pun tertidur dengan lilin terpasang. Semoga kita mengambil pengajaran dari kes ini.
Atikel ini dipetik dari forum
27 Korban Kebakaran Pondok Pak Ya Diingati
YAN: Selepas lebih dua dekad, keluarga 27 pelajar Sekolah Agama Taufiqiah Khairiah Al-Halimiah yang terkorban dalam kebakaran pada 1989, berkumpul buat pertama kali semalam bagi memperingati kejadian itu.
Dalam kejadian 2.30 pagi pada 22 Sept itu, lapan blok asrama perempuan di sekolah yang lebih dikenali Pondok Pak Ya di Padang Lumat rentung bersama 27 penuntut, manakala enam berjaya menyelamatkan diri dalam keadaan melecur teruk dan kecederaan lain termasuk patah pinggang.
Pengelola Program Memperingati 27 Syuhada Kebakaran Pondok Pak Ya 1989, Mohd Fikri Abd Razak berkata majlis itu bertujuan mengumpulkan buat pertama kali keluarga semua mangsa yang terlibat.
"Hampir tiga bulan saya dan tiga rakan Alumni (Pondok Pak Ya) lain mencari 27 keluarga mangsa tragedi tersebut kerana alamat yang ada tidak lengkap," katanya kepada Bernama, di sini.
Beliau berkata pada majlis itu mereka berpeluang bertemu semula dengan yang lain termasuk yang terselamat dan berkongsi cerita mengenai pengalaman selepas tragedi.
Maklum balas yang diterima daripada ibu bapa dan keluarga mangsa sangat baik dan rata-rata mahukan sekolah mengadakan majlis ini setiap tahun, kata Mohd Fikri.
Majlis itu yang berlangsung di sekolah tersebut dimulakan dengan slot pengkisahan oleh mangsa yang terselamat, diikuti majlis tahlil di pusara 27 yang terkorban.
Selain itu, turut diadakan pameran yang memaparkan gambar mangsa serta laporan berita mengenai tragedi tersebut.
Sementara itu, seorang mangsa yang terselamat Hartini Awang, 35, berkata program berkenaan membuatkan beliau terkenang ramai kawan karibnya yang terkorban dalam tragedi tersebut.
Katanya beliau nekad meredah api yang marak bagi menyelamatkan diri, mengakibatkannya mengalami lecur di tangan dan muka.
"Selepas berjaya keluar dari asrama itu saya melihat semua lapan bangunan asrama yang kami tinggal terbakar," katanya yang kini bekerja di Jabatan Perangkaan di Sungai Petani.
Yusof Lebai Hassan, 72, pula tidak dapat menahan sebak apabila mengingati adik bongsunya Maryani yang terkorban dalam kejadian itu.
Katanya ketika kejadian, arwah adiknya itu baru berusia 14 tahun.
"Saya masih ingat seminggu sebelum kejadian arwah minta duit belanja kerana dia tak dapat balik ke rumah kami di Sungai Ibor, Gurun," katanya. - BERNAMA
Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau Pondok Pak Ya, Guar Cempedak
Madrasah Taufikiah Khairiah Al-Halimiah atau lebih terkenal dengan nama Pondok Pak Ya Junid telah ditubuhkan pada tahun 1947 oleh Allahyarham Tuan Guru Hj. Yahaya Junid. Terletak di Batu 16, Padang Lumat, Guar Chempedak, pondok moden ini telah didaftarkan di bawah Majlis Agama Islam Negeri.
Tuan Guru Hj. Yahaya Junid pernah menulis sebanyak 18 buah kitab rujukan serta menjadi AJK Majlis Agama Islam Kedah (MAIK), Majlis Zakat Negeri Kedah, dan ahli Majlis Fatwa Kedah.
Selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1964, pengurusan pondok diambil alih oleh Tuan Guru Hj. Azahari Abd Razak (1964 – 1983), Ustaz Manan Hj. Yahaya (1983 – 2007) dan Ustazah Hajah Azizah Hj Yahaya bermula tahun 2007.
Ustazah Hajah Azizah mendapat tauliah 4 Senawi sebelum melanjutkan pengajian di Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya (1961 – 1966) dan memperoleh Diploma Pendidikan Islam. Beliau berpengalaman sebagai guru di SMK Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan SMK Gurun. Pada tahun 1994, beliau menerima Anugerah Sijil Perkhidmatan Cemerlang daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.
Ketika Pondok Pak Ya ditubuhkan, seramai 194 pelajar telah mendaftar. Pada tahun 2012, Pondok Pak Ya mempunyai 608 pelajar remaja dan dewasa. Sistem pembelajaran yang ditawarkan ialah pengajian Umumi dan Nizami. Antara subjek yang diajar ialah Feqah,
Tafsir, Hadis, Tasawwuf, Nahu, Balaghah, Qiraat, Mantiq dan subjek pondok yang lain.
Pondok Pak Ya berjaya melahirkan beberapa tokoh termasuk YB Senator Dato’ Dr Mashitah Ibrahim, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Sheikh Fisol Omar, Pegawai Agama Majlis Agama Islam Kedah juga merupakan bekas pelajar Pondok Pak Ya. Bantuan kewangan bagi pondok ini diterima daripada Kerajaan Persekutuan, kutipan derma, sumbangan badan korporat dan orang perseorangan.
sumber : pondok 1malaysia
Pondok Pak Ya: Tragedi Tragis 22/9/89
Nama Sek. Men. (A) Taufikiah Khairiah al-Halimiah bukanlah sesuatu yang asing bagiku. Aku akan melintasi kawasan sekolah ini setiap kali pulang ke rumah keluarga angkat di Jeniang, Sik. Lebih dikenali dengan gelaran Pondok Pak Ya, sekolah yang terletak cuma 4 batu jauhnya dari sekolahku (SMA Nahdzah) ini pernah aku kunjungi beberapa kali. Terletak di batu 16 Padang Lumat, Pondok Pak Ya juga seperti Pondok Pak Man (SMA Nahdzah) yang menjadi pilihan ibu bapa di sekitar Kedah bagi menghantar anak-anak mendalami ilmu agama.
Sejarah penubuhan bermula pada tahun 1910-an oleh Tn. Hj Hussain Nasir atau lebih dikenali sebagai Tn. Hussain Kedah al-Banjari sebelum dikelola oleh Tuan Guru Hj Yahaya Junaid (Pak Ya Junid) dan dirasmikan pada tahun 1942.
Selama hampir satu abad berdiri megah menongkati perjuangan menyebarkan ilmu pengetahuan duniawi dan ukhrawi,siapa menyangka bahawa di sebalik namanya yang harum, ada satu tragedi ngeri yang sehingga kini diingat dan dikenang bukan sahaja oleh pelajar dan bekas pelajar Pondok Pak Ya, tetapi juga oleh seluruh penduduk Kedah amnya.
Peristiwa kebakaran asrama puteri pada 22 September 1989, satu tragedi yang meragut nyawa 27 orang puteri dalam sekelip mata. Dalam api yang menjulang, tiada siapa yang mengetahui sekuat mana teriakan dan tangis mereka, berusaha untuk menyelamatkan diri dan satu sama lain. Masih ada goresan pilu di hati mereka yang turut sama merasakan nyalaan api membara, 22 September pada 22 tahun yang lalu. Hingga hari ini, peristiwa ngeri itu masih dalam ingatan seluruh warga Pondok Pak Ya. Malah hingga hari ini, masih ada ibu yang menanggung rindu, ayah yang menangis pilu, sahabat yang hilang teman dan guru yang hilang pelajar harapan.
Sumber : bintulqaryah
Telefilem Pondok Pak Ya
Sebuah dokumentari yang memaparkan kejadian sebalik kebakaran yang berlaku di blok asrama puteri Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al Halimiah (Pondok Pak Ya) Padang Lumat, pada 22 September 1989. Dokumentari ditayangkan di Astro Oasis jam 9.30 malam pada 11 Disember 2013. Telefilem akan tayang pada 1 Jan 2014 di Astro Box Office. Telefilem ini diterbitkan oleh KL Motion Picture Co.
Sekian
Semoga kita mendapat pengajaran dari kes ini
Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Tengok ada yang ada?
No comments:
Post a Comment