Penderitaan rakyat Palestin terutama golongan wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman tentera Israel di Gaza masih berterusan hingga hari ini.
Penderitaan mereka bukan saja meraih perhatian masyarakat dunia, tetapi golongan selebriti tanah air turut terpanggil untuk berganding bahu dalam merealisasikan karnival amal Youth Bazaar Fiesta bagi menyalurkan sumbangan ke Tabung Gaza.Acara amal anjuran Anugerah Team Services dengan kerjasama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Aqsa Syarif akan berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam pada 13 dan 14 September ini.
Karnival amal ini bakal disemarakkan lagi dengan pembabitan lebih 15 selebriti popular tanah air seperti Afdlin Shauki, Rita Rudaini, Fouziah Gous, Yana Samsudin, Mawi, Ekin, Nabil Ahmad, Angah Raja Lawak, Mila, Yatt Hamzah, Fida Ibrahim, Bienda, CT Chubby dan Lisdawati.
Bagi Yana Samsudin, dia tidak ingin melepaskan peluang keemasan menyertai karnival amal itu walaupun agenda seninya padat ketika ini.
“Saya sentiasa menyokong penganjuran karnival amal seperti ini terutama untuk membantu penduduk Palestin di Gaza.
“Saya juga sangat teruja untuk menjayakan karnival ini buat julung kalinya sekali gus dapat berkumpul dengan rakan artis dan peminat masing-masing untuk menjayakan aktiviti murni ini,” katanya.
Pada karnival amal itu, Yana akan menjual barangan seperti pakaian dan aksesori popular di Korea Selatan dan Jepun iaitu LoomBans.
“Selain itu, YanaSuperCookies turut menjual pelbagai jenis biskut iaitu SuperSumpai, Strawberry Lolita, Green Forest, Superstarberry dan Stylo Chips. Hasil jualan juga akan disalurkan ke tabung berkenaan,” katanya.
Selain berdoa, Yana akui memang mengikuti perkembangan di Gaza.
“Setiap hari, sebelum masuk tidur saya akan mengikuti perkembangan di sana melalui laman sosial. Ramai kanak-kanak, orang tua dan dan kaum wanita yang menjadi mangsa perang ini. Ia sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Saya tidak sanggup melihat kekejaman yang mereka tanggung itu terutama mangsa yang tercedera dan cacat seumur hidup. Saya pernah berkunjung ke Bosnia Herzegovina yang pernah bermandi darah akibat perang saudara dan sudah melihat sendiri keadaan sebuah negara serta kehidupan rakyat selepas perang,” katanya.
Pelakon popular, Fouziah Gous pula memang tidak asing dengan karnival amal termasuk untuk membantu penduduk Gaza sekali gus menjalankan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat sejagat.
“Saya akan menjual produk sendiri iaitu sarang burung, My Walet Bird Nest dari FG Walet dan setiap botol yang terjual akan disalurkan ke tabung Gaza. Selain itu, saya turut menjual koleksi tudung dari Kelubung Republic.
“Demi merealisasikan misi program ini, saya juga sanggup menolak tawaran berlakon projek telefilem kerana ingin turun padang dan sama-sama menjayakan karnival amal selama dua hari itu nanti,” katanya.
Pada masa sama, Fouziah juga berharap semua peminatnya di luar sana akan turut sama menyokong penganjuran karnival amal berkenaan.
“Inilah masanya, peminat bertemu lebih dekat dengan artis kesayangan mereka sambil menderma untuk Tabung Gaza. Mungkin sumbangan yang kita hulurkan tidak seberapa berbanding kemusnahan dan penderitaan rakyat Palestin tetapi sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan sedikit beban yang ditanggung mereka,” katanya.
280 tapak jualan
Karnival amal Youth Bazaar Fiesta juga menyediakan sebanyak 280 tapak jualan dan lelongan untuk golongan selebriti dan orang ramai yang berminat untuk merealisasikan misi amal berkenaan.
Penganjurnya, Lina Abdul Rashid berkata, pembabitan artis dalam program amal ini seharusnya membuka mata banyak pihak supaya turut serta memberi sumbangan kemanusiaan kepada mangsa perang di Gaza.
“Sambil berbelanja dan menderma, pengunjung akan dihiburkan dengan persembahan beberapa artis terkenal tanah air. Kesempatan berhibur sambil beramal itu juga patut dimanfaatkan orang ramai terutama dalam kalangan generasi muda untuk turut sama memberi sumbangan.
“Selain menyampaikan mesej keamanan dan misi kemanusiaan kepada mangsa keganasan Israel, karnival berkenaan sewajarnya menjadi titik tolak bagi memberi kesedaran kepada orang ramai. Pastinya acara lelong barangan selebriti akan menjadi tumpuan,” katanya.
Lina berkata, hasil jualan dan lelongan akan disalurkan kepada Aqsa Syarif yang diberi mandat mengumpul sumbangan kewangan untuk penduduk Gaza.
“Kami menjemput peniaga online, butik, aksesori, kasut, kek dan apa saja jenis perniagaan untuk menyertai jualan amal ini. Youth Bazaar Fiesta adalah konsep jualan bazar pelbagai barangan pada harga yang berpatutan.
“Karnival yang bermula dari jam 10 pagi hingga 10 malam itu menyediakan 280 tapak jualan dan lelongan untuk artis dan peniaga yang ingin menyertainya dengan harga promosi RM580 untuk dua hari,” katanya.
Keterangan lanjut,layari laman Facebook - Youth Bazaar Fiesta atau laman Instagram - Youthbazarfiesta. -
Kita buatlah apa yang termampu untuk menolong mangsa -mangsa terutama wanita dan kanak-kanak yang sedang berada dalam kesusahan
Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah
No comments:
Post a Comment