Rahsia Kejayaan Irfan Khairi




Orang yang paling dikagumi?

Bill Gates.

Kenapa?

Antara sebab ialah dia merupakan manusia yang paling kaya di dunia. Saya kagum dengan idea, konsep yang diketengahkan. Bill Gates juga seorang ayah yang baik. Walaupun dia orang yang terkaya di dunia tetapi masih tetap merendah diri. Kalau boleh saya ingin menjadi seperti dia.

Apa yang Irfan belajar tentang Bill Gates?

Dari awal sehingga menjadi kaya, dia buat perkara yang dia minat - pengaturcaraan (programming). Dia jadi kaya sebab buat apa yang dia minat. Saya juga selalu sarankan kepada peserta-peserta bengkel supaya buat apa yang mereka minat, jangan terikut-ikut dengan industri lain yang kita sendiri tidak tahu keadaannya. Kalau hendak mencapai kejayaan sebenarnya industri apa pun boleh tetapi yang paling penting, kita minat.

Perkara yang tidak disukai?

Saya suka kalau tidak berfikir negatif tentang orang lain. Memang Bill Gates pun ada perkara-perkara negatif tetapi saya lebih suka mengambil yang positif sahaja.

Apa makna kekayaan bagi Irfan?

Wang bagi saya bukanlah keutamaan. Apa yang paling saya pentingkan ialah keluarga. Ramai yang tanya kalau perniagaan baik kenapa tidak mahu buka pejabat, ada pekerja sendiri. Tetapi bagi saya, kalau sudah ada wang cukup, saya lebih suka duduk rumah bersama keluarga. Memanglah kita perlu duit, tetapi yang lebih penting ialah membina sebuah keluarga bahagia.

Bagaimana keadaan bekerja di rumah?

Saya ada satu bilik khas yang dijadikan pejabat. Apabila saya buat kerja saya akan tumpu sepenuh perhatian kepada kerja. Saya bekerja waktu malam sampai subuh. Selepas (solat) subuh, baru saya tidur.

Kenapa tidak buka pejabat sendiri?

Saya suka menghabiskan masa bersama keluarga. Kalau boleh saya mahu terus begini. Saya selesa dengan cara ini.

Irfan tidak gemar bersosial?

Saya tidak menafikan kalau dibandingkan dengan rakan-rakan lain, mereka lebih gemar menghabiskan masa dengan bermain futsal, tengok wayang dan sebagainya. Tetapi bagi saya, sejak dulu lagi sudah fokus untuk kerja, menjana pendapatan, minat saya di situ. Saya tidak berapa suka keluar dengan kawan-kawan begitu (ketawa).

Lagipun pilihan ini terpulang kepada individu. Saya jadi begini mungkin sebab banyak membaca. Adik saya tidak macam saya, abang saya pun begitu. Mungkin juga faktor pergaulan dengan rakan-rakan semasa kecil banyak mempengaruhi sikap saya sekarang. Dulu, kawan-kawan saya kebanyakannya bukan daripada keluarga berada. Saya pun daripada keluarga sederhana, bila tengok rakan-rakan kaya, kami segan nak bercampur, tidak selesa bila bersama mereka. Sekarang saya telah buktikan walaupun kita hidup sederhana, peluang untuk kita mencipta kekayaan tetap terbuka. Ini juga salah satu daripada matlamat hidup saya.

Bila Irfan menetapkan sasaran untuk bergelar jutawan?

Semasa berumur 18 tahun, saya sudah menetapkan matlamat hendak jadi jutawan sebelum berumur 30 tahun. Saya tulis di atas kertas dan simpan dalam dompet. Saya baca apa yang saya tulis itu setiap hari. Saya percaya apa yang dibaca jika selalu diulang-ulang, akhirnya akan termakbul. Sampai hari ini pun setiap perancangan saya yang akan datang, saya akan baca tiap-tiap hari.

Apa perancangan akan datang Irfan?

Saya hendak cuba memperkenalkan diri di seluruh negara sebagai motivator pula, terutama kepada anak-anak muda kita.

Bagaimana perasaan Irfan bila berjaya mencapai matlamat sebelum masa yang ditetapkan?

Semestinya saya seronok. Tetapi apa yang lebih penting ialah saya rasa lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri.

Irfan terlalu merendah diri, kenapa?

Macam saya kata tadi, mungkin dari segi pergaulan dengan kawan-kawan saya terbawa-bawa sikap ini. Kawan-kawan saya memang begitu, tambahan pula dari tingkatan satu sampai tingkatan lima kami dalam satu kumpulan. Persepsi kami semasa itu ialah orang kaya ini biasanya sombong dan suka berlagak tetapi sekarang saya sedar mereka pun sama macam kita sahaja.

Semasa sekolah pernah kena buli?

Memang pernah, biasalah kena buli sebab saya ini lemah sedikit (ketawa). Antara kejadian yang saya masih ingat ialah semasa saya menyertai kelas tae kwan do. Ada seorang budak yang sedang buat latihan secara tidak semena-mena terajang saya. Sikap saya pula ialah tidak suka melawan. Sebenarnya saya memang diajar begitu, sentiasa menghormati orang lebih dewasa.

Sekarang Irfan sudah berjaya, adakah masih berasa rendah diri lagi?

Saya suka begini. Kalau tidak merendah diri saya akan rasa tidak selesa (ketawa).

Mungkin sebagai motivator, sikap rendah diri begini tidak begitu sesuai?

Saya rasa itu bergantung kepada cara pembawaan kita. Bagi saya, yang penting ialah keikhlasan. Saya biasanya akan mengadakan seminar (bengkel) setiap sekali atau dua kali sebulan cara bagaimana untuk menjadi jutawan, tetapi cara saya berpakaian misalnya, jelas dapat dilihat yang para peserta lagi segak bergaya daripada saya.

Bagaimanapun saya rasa masyarakat sudah mula menerima gaya penyampaian begini (berpakaian ringkas). Sebelum ini bila kata jutawan, orang itu mesti pakai kot, tali leher, bawa kereta mewah dan sebagainya. Tetapi di Amerika Syarikat seperti Bill Gates sendiri, dia beri ceramah pakai baju T biasa sahaja. Yang penting kejayaan dia. Saya kalau boleh hendak menjadi seperti resmi padi - semakin berisi semakin tunduk.

Pertama kali bertindak sebagai motivator, apa pengalaman yang dialami?

Kelam-kabut kerana saya lupa banyak fakta dan saya buat banyak kesilapan. Saya cakap tergagap-gagap. Tetapi ini memang saya jangka dari awal. Di sekolah saya tidak pernah buat pengucapan awam. Itu kali pertama seumur hidup saya berucap depan 20 hingga 30 orang.

Sampai sekarang saya masih gementar. Tetapi biasanya ia berlaku dalam 10 minit pertama kemudian semua berjalan lancar.

Orang kata kalau terlalu merendah diri, pihak lain mudah mengambil kesempatan?

Ada betulnya juga, tetapi itu mungkin berlaku dalam dunia korporat atau perniagaan yang banyak persaingan. Macam saya kerja di rumah dan mengadakan bengkel mungkin keadaan itu tidak terasa sangat.

Sebelum terlibat dalam bidang multimedia, Irfan mengambil jurusan ekonomi di UiTM. Mengapa beralih bidang?


Semasa itu saya sendiri tidak tahu hendak pilih jurusan atau bidang apa yang patut saya ceburi. Jadi ibu banyak mendorong saya supaya mengambil jurusan itu.

Persepsi orang tua, untuk berjaya kena jadi ahli ekonomi, doktor atau peguam, itu sahaja. Walaupun saya telah ada minat melukis, mereka bentuk tetapi ketika itu saya tidak nampak boleh mengembangkan bakat yang ada. Sehinggalah selepas UiTM, kerajaan mula memperkenalkan MSC. Saya lihat inilah peluang saya. Dan pada masa sama, saya memohon di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang multimedia. Alhamdulillah saya diterima. Saya merupakan pelajar pertama yang JPA hantar untuk buat jurusan multimedia di luar negara. Untuk ini saya berterima kasih kepada bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang telah mencetuskan idea ini.

Apa pendapat Irfan tentang Tun?

Beliau banyak memberi galakan kepada orang Melayu untuk berjaya. Saya sensitif bercakap fasal Tun (sebak).

Kenapa Irfan sebak?

Saya kagum dan hormat pada beliau. Saya sukar menerima kritikan negatif orang lain terhadap beliau. Bagi saya, manusia memang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan tetapi Tun telah melakukan banyak perkara baik untuk orang Melayu.

Kalau diberi peluang berjumpa Tun?

Sebenarnya saya memang teringin sangat untuk berjumpa dengan Tun.

Tiga perkara yang Irfan suka lakukan?

Saya suka bermain dengan anak-anak, melayan isteri dan keluarga, melukis selain menonton cakera padat digital (DVD).

Tiga perkara yang tidak suka dilakukan?

Saya tidak suka bersukan (ketawa), membuang masa dan kalau saya tidak ada kerja untuk dilakukan (menambah pendapatan).

Semasa kecil pernah berlaku perkara yang Irfan tidak boleh lupakan sehingga membentuk sikap Irfan hari ini?

Tidak ada perkara luar biasa yang berlaku dalam hidup saya. Sebenarnya hidup saya agak bosan juga (ketawa). Yang banyak mempengaruhi diri saya ialah mungkin minat membaca. Boleh dikatakan waktu dulu, buku adalah teman baik saya.

Apa yang Irfan kesalkan?

Ada pihak-pihak tertentu menyalahgunakan nama saya. Mereka kaitkan saya dengan skim piramid online. Saya bimbang orang ramai akan fikir cara itu betul padahal kejayaan saya tiada kaitan langsung dengan skim piramid yang dimaksudkan. (maklumat lanjut mengenai skim-skim Internet yang mempergunakan nama Irfan Khairi)

Tip hari ini…

Sedikit sebanyak, daripada perkongsian ini, saya harap anda dapat fikirkan bagaimana anda boleh memulakan perniagaan tanpa modal. Buang jauh-jauh istilah yang anda pernah dengar “Untuk buat duit, kena ada duit!”… atau “Untuk mulakan perniagaan, kena ada modal!”. Dengan kreativiti, ilmu, usaha besertakan doa, anda boleh memulakan perniagaan tanpa menggunakan wang.


1 comment:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...