Kuala Lumpur: Seorang peniaga berusia 40-an sanggup bertindak menghalau ibu dan empat adik- beradiknya yang menetap di sebuah rumah teres peninggalan bapanya di Sungai Besi di sini, kerana ingin menjual rumah berkenaan.
Menurut sumber, suspek bertindak demikian kerana rumah itu kini bernilai lebih RM500,000 dan menjadikan alasan bahawa ibu berusia 67 tahun dan empat adiknya berusia antara 20 hingga 40-an membebaninya.
Harian Metro difahamkan, kejadian berlaku pada jam 9 malam, Khamis lalu.
Mangsa (si ibu) dan empat lagi adik-beradik mula tinggal bersama di rumah berkenaan sejak kematian bapa mereka beberapa tahun lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, sumber itu berkata, lelaki terbabit pulang ke rumah dalam keadaan marah lalu menghalau ibunya selain mengarahkan warga emas itu membawa bersama empat adik-beradik lain.
“Suspek menuduh ahli keluarganya itu menambah bebannya yang terpaksa menyara mereka sekeluarga. Malah, dia turut memberitahu mahu menjual rumah berkenaan dan sebuah lagi rumah yang dibeli keluarga berkenaan atas namanya,” katanya memberitahu, ketika kejadian, empat adik-beradik suspek tiada di rumah.
Sumber itu berkata, tindakan suspek menyebabkan ibunya berang sebelum memarahinya menyebabkan mereka terbabit dalam pertengkaran lebih 10 minit.
“Suspek yang hilang pertimbangan itu kemudian mengambil pisau pemotong daging sebelum meletakkan senjata berkenaan di leher ibunya.
“Lelaki terbabit kemudian mengugut untuk membunuh ibunya itu jika permintaannya tidak dipenuhi. Malah, suspek turut merosakkan barangan di dalam rumah itu menggunakan pisau berkenaan,” katanya memberitahu, selain ibunya, suspek turut mengugut untuk membunuh empat lagi adik-beradiknya jika mereka enggan mengosongkan rumah berkenaan.
Menurutnya, suspek hanya berhenti mengamuk dan mengugut ibunya itu apabila melihat ibunya menangis dan merayu dikasihani.
“Biarpun begitu, suspek masih tidak berpuas hati dan mengarahkan ibunya untuk keluar rumah berkenaan keesokan harinya,” katanya.
Katanya, warga emas terbabit yang bimbang dengan ugutan itu membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi, di sini. Harian Metro difahamkan, warga emas bersama empat beradik suspek sudah meninggalkan rumah berkenaan dan kini menumpang di rumah saudara mereka.
Tambahnya, dalam kejadian itu, warga emas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan dan difahamkan, pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes itu kerana melakukan ugutan jenayah.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan. - hmetro
-----
Di sebabkan nak duit...sanggup halau mak dan adik beradik...cubalah bawa berbincang elok-elok...syurga itu di bawah telapak kaki ibu
“Surga itu dibawah telapak kaki ibu”. (HR. Ahmad, an-Nasaai, Ibn Maajah dan al-Hakim)
Beringatlah...hidup tak berkat kalau derhaka pada ibubapa, kalau berniaga mesti tak untung kalau ibubapa tak pernah resti dan meredhai kita.
No comments:
Post a Comment