Cara Kendali Kanak-Kanak Obes

Muhammad Haikal Mohd Hairani baru berumur 10 tahun. Berat badannya 79.8 kilogram. Dia merupakan salah seorang daripada ratusan ribu kanak-kanak negara ini yang menghadapi masalah obesiti atau kegemukan. Berdasarkan Kajian Keutamaan Nutrisi di Malaysia, terdapat peningkatan 13.6 peratus kes obesiti di kalangan mereka.


Mereka turut menyumbang menjadikan Malaysia negara ‘paling gemuk’ di Asia Tenggara. Hari ini, menurut statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan, 15.1 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah obesiti. Keadaan itu meletakkan kita pada kedudukan nombor enam di Asia, mengalahkan beberapa buah negara Asia Barat yang secara tradisinya dianggap ‘negara gemuk.’
Menurut kajian itu juga, 2.6 juta rakyat kita digolongkan sebagai obes, dan hampir setengah juta rakyat di bawah 18 tahun yang mengalami masalah berat badan berlebihan. Negeri yang paling tinggi kadar obesiti ialah Perlis (21.7 peratus), diikuti oleh Melaka (17.7), Selangor (17.1) dan Kelantan (16.2). Sabah berada pada kedudukan paling rendah kadar obesiti penduduknya (10.5 peratus) menjadikannya negeri yang paling sihat.

Soal obesiti bukan masalah Malaysia sahaja. Ini fenomena global. Lebih malang lagi, satu pertiga daripada mereka yang mempunyai masalah berat badan tinggal di negara-negara membangun. Lebih 300 juta manusia di dunia hari ini dikategorikan sebagai obes. Di China, lima peratus rakyatnya dikategorikan sebagai obes, malah kadar di bandar melebihi 20 peratus. Ironinya China pernah mengalami masalah kebuluran yang serius, tetapi kemajuan ekonomi hari ini menimbulkan masalah kesihatan akibat makanan berlebihan.

Bazirkan makanan

Lebih ironis lagi, seorang dari lima penghuni Planet Bumi atau 800 juta manusia kebuluran setiap hari. Apa yang jelas, makanan banyak tetapi tidak seimbang pengagihannya. Malaysia membazirkan makanan sedangkan banyak orang lain tidak cukup makan. Dalam sehari kita membuang 15,000 tan makanan, jikalau dikumpulkan boleh menutup tujuh padang bola atau cukup untuk memberi makan pada 7.5 juta orang. Agaknya itulah korban kemajuan dan kemakmuran.

Akhbar ini telah banyak kali membuat liputan soal obesiti di kalangan rakyat kita, juga di kalangan pelajar. Hari Isnin baru lalu, akhbar New Straits Times menjadikan soal obesiti di kalangan pelajar fokusnya. Menurut akhbar itu kanak-kanak semuda tujuh tahun sudah dilabelkan obes.
Akhbar itu melaporkan ramalan Profesor Winnie Chee yang mengawasi isu pemakanan rakyat bahawa isu ini akan menjadi lebih serius pada masa akan datang. Pelajar di antara tujuh hingga 17 tahun yang obes akan meningkat. Sekiranya hal itu tidak ditangani kadar jangka hayat mereka apabila dewasa berkurang daripada lapan bulan hingga tujuh tahun.

Sindrom metabolik

Beliau menunjukkan dua kajian terbaharu tentang peningkatan apa yang disebutkan sebagai sindrom metabolik yang membimbangkan di kalangan kanak-kanak. Kadar itu meningkat dari 1.3 peratus kepada 5.3 peratus. Ini bermakna risiko untuk mendapat penyakit kronik dan mengalami keadaan kesihatan yang kurang baik akan bertambah.

Statistik Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan juga menunjukkan bahawa pada 2011, 17 juta rakyat Malaysia mengalami penyakit tidak berjangkit. Seramai 6.2 juta rakyat mengalami masalah kolesterol tinggi, 5.8 juta mempunyai masalah darah tinggi dan 2.6 juta menderitai kencing manis atau diabetes.

Dalam kes Muhammad Haikal, dia tidak datang daripada ibu bapa yang obes. Kanak-kanak sepertinya membesar di tengah kemewahan makanan. Lebih penting lagi aktivitinya terbatas dengan hanya ke tempat riadah seminggu sekali. Selebihnya dia menghabiskan masa di hadapan TV dan bermain games. Teknologi canggih menjadikan kanak-kanak sepertinya terpaku dengan pelbagai peralatan dan aplikasi terkini.

Hari ini 13 daripada 100 kanak-kanak di sekolah rendah di seluruh negara seperti Muhammad Haikal.

Hal ini perlu ditangani segera. Kita harus memastikan obesiti tidak menjadi wabak kesihatan. Kesan jangka panjangnya cukup buruk, bukan sahaja bagi kanak-kanak itu tetapi kos kesihatan negara.

Kanak-kanak mesti dipaksakan membebaskan diri mereka daripada teknologi multimedia dan diasak agar turun beriadah atau bersenam. Kawalan terhadap tabiat pemakanan mereka juga perlu diketatkan. Makanan yang mereka makan harus diawasi.

Kita perlukan kempen raksasa untuk mengubah keadaan ini. Dan ia harus dimulakan serta-merta.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Pad Wanita Herba Wangi VS Pad Sintetik? Mana yang bagus?

Banyak jenama bercakap tentang bagaimana pad organik / tampon hebat tanpa racun dan peluntur klorin, tetapi mereka hampir tidak bercakap ten...