Monday, July 28, 2014

Fesyen Dato Siti Nurhaliza Beraya di Melbourne



LEBARAN tahun ini agak berbeza buat penyanyi kesayangan negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Khalid Mohamad Jiwa (Datuk K).
Kebiasaannya, mereka berdua akan menunaikan umrah pada bulan Ramadan dan kembali ke tanah air beberapa hari sebelum hari raya, namun tahun ini jadual mereka berubah sama sekali.
Hanya akan beraya di Kuala Lumpur pada pagi raya, usai solat sunat Aidilfitri, Siti, 35, dan Datuk K, 55, akan terbang ke Melbourne, Australia untuk menghadiri majlis konvokesyen anak kedua Datuk K, Muhammad Adib, 24, yang dijadual berlangsung pada hari raya kedua.
“Sebenarnya mengikut perancangan seperti biasa kami akan beraya di Sungai Petani, Kedah dan Kuala Lipis, Pahang.
“Namun, pada saat akhir kami menerima surat bahawa konvokesyen Adib akan berlangsung pada hari raya kedua. Kebetulan saya cuti raya, jadi selepas solat raya kami akan terus ke Melbourne.
“Saya dan suami akan berada di sana selama dua hari sahaja sebelum pulang ke Malaysia. Jika ada kesempatan, mungkin saya akan melawat sahabat handai,” tuturnya.
Sambung Siti, sekembalinya di Malaysia, sambutan rayanya akan berlangsung seperti biasa, bahkan tahun ini sahaja beliau sudah memperuntukkan pakaian raya sebanyak enam pasang.
“Balik sahaja Malaysia, saya akan beraya di Kuala Lumpur terlebih dahulu kerana keluarga suami semua ada di sini. Selepas itu barulah saya akan pulang ke Kuala Lipis, Pahang untuk beraya dengan ibu saya,” jelasnya.
Kesibukan kerjanya juga membataskan Siti melakukan persiapan raya serba lengkap. Minggu terakhir Ramadan, jadualnya padat dengan majlis pelancaran album Fragmen dan kerja promosi album tersebut.
“Tahun ini jadual saya agak padat berbanding tahun sebelum ini. Sebab itu, tahun ini saya langsung tidak sempat buat apa-apa kecuali menempah pakaian. Kuih pun semuanya saya beli sahaja,” katanya sambil ketawa.
Bagaimanapun jelas penyanyi kesayangan ramai itu, sama seperti kebanyakan keluarga lain yang gemar memakai busana raya sedondon, keluarganya juga tidak terkecuali mengamalkan konsep pakaian sedondon setiap kali hari raya.
Terutama suaminya yang akan menyesuaikan warna pakaiannya dengan pakaian yang disarung oleh Siti.
“Biasanya apa warna yang saya pakai hari itu, Datuk K akan pilih warna yang sesuai dengan pakaian saya. Kami tidak membeli kain yang sama, sebaliknya disesuaikan dengan warna sahaja. Tahun ini kami mempunyai enam pasang baju raya untuk digayakan sepanjang bulan mulia ini,” luahnya.
Datuk K tunai umrah tanpa Siti
Tidak seperti kelazimannya sejak beberapa tahun lalu, Siti yang sudah menunaikan haji akan menjadi Mekah sebagai destinasi wajib pergi sekitar dua minggu sebelum Syawal menjelang.
Namun tahun ini, hanya suaminya, Datuk K sahaja yang berpeluang ke Mekah untuk menunaikan umrah pada bulan Ramadan.
Kata Siti, sebaliknya beliau berada di Kuala Lumpur kerana terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Ini kali kedua Datuk K menunaikan umrah tanpa saya sejak dia pulih daripada kemalangan motosikal. Datuk K ke Mekah pada 17 Julai lalu dan pulang pada 25 Julai iaitu dua hari sebelum raya.
“Kebetulan Datuk K ke Mekah kerana urusan kerja, jadi dia terus tunaikan umrah. Saya percaya sudah rezeki dia untuk tunai umrah pada bulan Ramadan,” katanya.
Akui Siti, jika diikutkan, mahu sahaja dia mengiringi suaminya ke Mekah kerana sudah menjadi rutinnya bersama suami menunaikan umrah setiap kali bulan Ramadan.
Namun, beliau enggan mengganggu urusan kerja suami dan pada masa yang sama Siti juga terbeban dengan jadual kerja yang tidak berpenghujung.
“Hati saya memang teringin tunai umrah sekali lagi. Seronok tunai umrah ketika bulan Ramadan. Namun, saya percaya tahun ini saya tidak ada rezeki untuk ke sana.
“Selalunya, jika tunai umrah suami akan menemani ke mana sahaja saya pergi. Rasa kekok tanpa suami. Jika saya ikut, bimbang mengganggu urusan kerja suami pula hanya untuk menemankan saya. Jadi, lebih baik saya tidak ikut.
“Jika ada kelapangan dan rezeki, saya memang ingin ke Mekah. Tahun ini, jadual kerja saya terlalu padat tidak seperti tahun lepas. Bahkan sehingga hampir raya, saya masih sibuk bekerja,” tuturnya.
Sementara itu, Siti memberitahu, kesihatan suaminya juga kini semakin pulih. Bagaimanapun, Datuk K masih menjalani rawatan fisioterapi sehari sekali.
“Alhamdulillah, melihat Datuk K kembali bekerja seperti biasa, saya sangat bersyukur. Melihat keadaannya selepas kemalangan pada Disember 2012 dan perubahan positif hari ini membuatkan saya cukup menghargai setiap detik bersamanya,” kata Siti sambil tersenyum manis.

Dapatkan Update Tips Kecantikan, Fesyen dan Kesihatan
Tak ada masa nak keluar rumah shopping?
Jubah, Blouse, Shawl, Handbag
Jom Terjah





No comments:

Post a Comment

PENDAFTARAN SYARIKAT Syarikat ini telah didaftarkan secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada atas nama "One Stop Media Production" (SSM 002185302K ) bagi menjalankan urusan perniagaan secara online dan offline. Sekian, Terimakasih.

Bukti Kejujuran Syarikat KLIK SINI

GR

PA

fbcs

nas