Friday, March 14, 2014

Kenal Islam Waktu Liar

Pertama kali bertemu dengan pengacara rancangan Reflections, Imam Suhaib Webb, 42, bicaranya nampak tegas dengan riak wajah yang serius. Mungkin perwatakannya begitu, ketika ditemubual juga dia lebih selesa untuk menjawab persoalan dengan jawapan, cuma sekali sekala sahaja dia bergurau.

Mungkin faktor kehidupan lampaunya yang sebelum ini penuh kelalaian membuatkan dia kini hanya membicarakan sesuatu yang memberi manfaat sahaja.

Menyelami kisah silamnya, Suhaib memeluk Islam sekitar 20 tahun lalu, di kala dirinya masih tercari-cari erti kerohanian dalam kehidupan.

“Ketika itu saya masih lagi remaja, banyak perkara liar yang saya lakukan termasuklah hidup dengan pergaulan yang cukup bebas. Ini termasuklah terlibat dengan gejala dadah," ujarnya.

Pernah melibatkan diri dengan dunia hiburan dan bergelar seorang artis ketika di Amerika Syarikat, tidak hairanlah dunia carca marba itu dekat dengan dirinya sebelum mendapat hidayah Allah.

“Ketika di sana, saya mempunyai kumpulan hip hop, AK Assault dan saya bertindak sebagai seorang DJ dalam kumpulan itu. Masa itu kehidupan memang tidak terurus. Banyak perkara yang tidak baik saya lakukan sebagai manusia. Kalau dilihat kembali perkara sebelum ini, apa yang telah saya lakukan, saya cukup menyesal," jelasnya.

Dalam kesamaran hidup itu, jelas Suhaib, dia masih tercari-cari pengertian agama dalam kehidupan sebelum bertemu dengan agama Islam.

“Ketika saya remaja juga, banyak perkara yang menjadi persoalan terutamanya melibatkan agama. Ketika itu, saya mempunyai seorang sahabat yang juga merupakan seorang Muslim. Dia yang banyak bercerita kepada saya tentang Islam dan melalui sembang-sembang itu yang membuatkan saya pertama kali terdedah dengan Islam," katanya.

Ketika berumur 17 tahun, dia mula membaca al-Quran dan kitab suci itu menjadi pemangkin semangat kepadanya untuk terus memeluk Islam kira-kira 20 tahun yang lalu.

“Al-Quran memberi saya banyak pengajaran dalam kehidupan. Ia mengajar saya menghormati pelbagai aspek dalam kehidupan, tentang tauhid, dan memberi saya penjelasan yang sangat logik," katanya.

Ditanya mengenai penerimaan keluarganya, jelas Suhaib, ibu bapanya boleh menerima agama yang dipeluknya sekarang walaupun pada permulaan, timbul rasa risau pada mereka.

“Mula-mula mereka risau juga bila saya nyatakan saya sudah memeluk Islam, apatah lagi dengan keganasan yang sering dikaitkan dengan Islam," ujarnya.

Bagaimanapun lama-kelamaan, keluarga mula menerima pegangan baru yang dianuti Suhaib yang kemudiannya membina hubungan baik sehingga kini.

Jadi Imam di waktu muda

Menyambung bicara mengenai penglibatannya sebagai seorang Imam, Suhaib tidaklah berniat untuk menjadi seorang Imam. Sebaliknya pada awalnya dia hanya mahu menjadi seorang guru.

“Saya mula jadi Imam kira-kira 12 tahun yang lalu dan guru saya ketika itu yang suruh saya menjadi seorang Imam. Masa itu, saya menjadi Imam di sebuah surau dan rata-rata jemaahnya adalah berasal dari Pakistan," katanya. Ketika itu, kata Suhaib, dia memang risau apabila diberi tanggungjawab untuk menjadi seorang Imam di usia yang muda. “Bagi saya, sebenarnya patut lebih ramai lagi yang diberi peluang untuk menjadi seorang Imam dan jangan khuatir kalau ada buat silap. “Tapi, sebenarnya kesilapan itu yang sebenarnya memberi pengajaran sebab kalau kita hendak berjaya, kita kenalah gagal dahulu," ujarnya. Mengenai penglibatannya dalam bidang muzik, jelas Suhaib, dia kini masih lagi terlibat dalam muzik tetapi secara suka-suka sahaja. “Kadang-kadang ada juga saya menonton konsert Ramli Sarip sebab rasa ingin tahu bagaimana konsert di sini dijalankan berbanding di Amerika Syarikat," katanya. Tambahnya, bidang seni adalah salah satu cabang besar dalam kehidupannya. Malah, dia sendiri mempunyai rakan-rakan yang terlibat secara langsung dalam industri itu. “Saya rasa seni adalah salah satu cabang dakwah yang dapat merapatkan lagi sesama manusia. Malah, boleh dikatakan, cabang seni memainkan peranan penting dalam menyebarkan Islam," jelasnya.- utusan




No comments:

Post a Comment

PENDAFTARAN SYARIKAT Syarikat ini telah didaftarkan secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada atas nama "One Stop Media Production" (SSM 002185302K ) bagi menjalankan urusan perniagaan secara online dan offline. Sekian, Terimakasih.

Bukti Kejujuran Syarikat KLIK SINI

GR

PA

fbcs

nas