Thursday, February 13, 2014

Kes Pembunuhan Omar Peter, dan anaknya Zara Eleena

SHAH ALAM 12 Feb. - Ibu pensyarah Kolej Teknologi Antarabangsa Cybernetics (KTAC), Zara Eleena Omar Peter yang mati dibunuh bersama bapanya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini barang kemas miliknya yang disimpan di rumah diserahkan kepada Ustaz Shah bagi tujuan 'pembersihan' tanpa pengetahuannya. Normaliah Mahmood berkata, barangan tersebut diserahkan sendiri oleh Zara Eleena kepada ustaz itu yang merupakan tertuduh pertama, Mohamad Zul Shahril Suhaimi, 22, atau dikenali sebagai Shah yang juga teman lelaki anaknya itu.

Katanya, perkara tersebut diberitahu oleh suaminya, Omar Peter Abdullah dari Kuala Lumpur melalui telefon pada 8 Mac 2012 kerana ketika itu dia berada di kampungnya, Gelang Cincin, Segamat, Johor setelah diminta oleh Zara Eleena untuk pulang ke kampung bagi mengelak 'hantu' mengikutinya.

Normaliah, 53, yang merupakan saksi pendakwaan keempat turut memberitahu, amat kecewa dengan kejadian itu kerana telah mengingatkan anaknya banyak kali agar tidak membawa keluar barangan itu dari rumahnya di Taman Kinrara.

Malah sebelum kejadian itu berlaku, dia diberitahu oleh Zara Eleena, barang kemas berkenaan direndam air zam-zam setiap hari untuk membersihkannya daripada 'hantu'.

Ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aidatul Azura Zainal Abidin siapa ustaz berkenaan, saksi itu memberitahu, hanya seorang yang dia panggil ustaz iaitu tertuduh pertama. Pada ketika ini, Normaliah mula menangis teresak-esak dan mendakwa Shah cuba mencampuri urusan keluarganya. ''Kenapa dia (Shah) sibuk nak masuk dalam keluarga saya, kenapa dia bunuh mereka, kenapa dia campur keluarga saya, dia pisahkan saya dengan Zara, kenapa dia kacau my family (keluarga saya),'' katanya.

Akibat kejadian tersebut, saksi berkata, dia bergaduh dengan suaminya dan mendesak barangan kemas itu dipulangkan kepadanya, namun suaminya memberitahu Zara Eleena pergi menemui Shah untuk bertanya mengenai barangan tersebut. Katanya, itu merupakan perbualan terakhirnya bersama-sama suami iaitu pada pukul 11 malam, 8 Mac 2012.

Shah, Mohamad Sharafe Matt Noh, 21, atau Mat Rof, Azizi Aizat Ibrahim, 22, atau Boy dan Muhamad Safwan Muhamad, 22, atau Chap didakwa membunuh Zara Eleena, 23, di rumah No. 28, Jalan TK 1/11, Taman Kinrara, Puchong, antara pukul 1.30 dan 2.30 pagi, 9 Mac 2012. Kesemua mereka juga menghadapi tuduhan kedua, membunuh Omar Peter, 56, di tempat sama, antara pukul 11.30 malam, 8 Mac 2012 dan pukul 1.30 keesokan paginya. Mereka dibicarakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. Dalam pada itu Normaliah memberitahu, dia ada menghubungi kedua beranak tersebut selepas kejadian berkenaan tetapi tiada jawapan namun menyifatkan ia perkara biasa kerana menganggap mereka merajuk dengannya. Namun, dia membuat laporan polis di Segamat berhubung kehilangan kedua beranak itu pada 11 Mac 2012 setelah panggilannya masih tidak berjawab selain meminta bapa saudara Omar Peter yang dikenali sebagai Paul untuk membuat laporan polis di Kuala Lumpur. Menurutnya, pada hari sama, dia dihubungi oleh anggota polis bernama Sarjan Amathi yang meminta dia pulang ke ibu kota kerana pihak berkuasa tidak dapat memasuki rumahnya.

Normaliah berkata, dia pulang ke Kuala Lumpur menaiki keretapi dan dijemput oleh anak saudara Omar Peter, dikenali Pedro di KL Sentral pada pukul 8 malam hari yang sama kemudian terus ke rumahnya. Setibanya di rumah, menurut wanita itu, dia menyerahkan anak kunci kepada anggota polis yang menunggu, namun mereka tidak membenarkannya masuk ke dalam dan dia terpaksa menunggu di tepi rumah. Prosiding pada ketika ini terpaksa ditangguhkan beberapa kali berikutan Normaliah tidak dapat mengawal perasaan ketika menceritakan kejadian di rumahnya itu.Ketika menyambung keterangannya, dia berkata, telah bertanya kepada Amathi keadaan sebenar namun diminta menunggu sehingga dia melihat trak polis berwarna hitam tiba di hadapan rumahnya dan merasakan ada sesuatu yang tidak kena berlaku di dalam rumahnya. Ketika inilah dia diberitahu oleh Pedro, Omar Peter telah tiada menyebabkan dia terus terduduk di atas tanah dan tidak mampu untuk bangun. ''Saya bertanya di mana Zara, saya tidak boleh berjalan dan saya tidak tahu dibawa ke mana,'' katanya. Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Abdul Halim Aman bersambung esok - UTUSAN

Kesian pada gadis dan bapanya yang jadi mangsa pembunuhan, hanya sebab nak dapatkan barang kemas. Semuanya sebab Duit...duit...duit...



No comments:

Post a Comment

PENDAFTARAN SYARIKAT Syarikat ini telah didaftarkan secara sah dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada atas nama "One Stop Media Production" (SSM 002185302K ) bagi menjalankan urusan perniagaan secara online dan offline. Sekian, Terimakasih.

Bukti Kejujuran Syarikat KLIK SINI

GR

PA

fbcs

nas